Zahid harus kekal, kata pemimpin selepas Umno kalah teruk sekali lagi pada PRN

0
193

SEORANG pemimpin kanan Umno yang bersekutu dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak gesaan dari akar umbi terhadap presiden parti itu supaya berundur berikutan kekalahan teruk sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi berkata peletakan jawatan Zahid tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi parti itu dalam mendapatkan semula sokongan orang Melayu, yang dipercayai secara meluas menolak calon Barisan Nasional (BN) di enam negeri yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN).

“Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab,” katanya, sambil menambah Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melakukan perkara sama ketika Bersatu tewas pada PRN di Johor dan Melaka.

Walaupun kem Umno sebahagian besarnya membisu mengenai prestasi hambar parti itu, namun suara-suara muncul daripada segelintir pemimpin yang menggesa untuk “perubahan”, menenggelamkan gesaan terhadap Zahid supaya berundur.

Mereka termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang menggesa parti itu mendengar suara rakyat dan “berani berubah”, dan bekas menteri besar Terengganu Tan Sri Idris Jusoh turut menggesa Zahid mengambil tanggungjawab atas kekalahan itu dan meletakkan jawatan. 

Zahid memainkan peranan penting dalam membawa sokongan 30 ahli Parlimen BN untuk menyokong pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tahun lepas, satu strategi yang dilihat sebagai memastikan kedudukan BN di Putrajaya walaupun berada di tempat terakhir dalam kalangan tiga gabungan utama – PH, PN dan BN – dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Pada pilihan raya hujung minggu lalu, Umno ditendang keluar di Kedah dan Terengganu, manakala hanya memenangi dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor dan satu kerusi di Kelantan. 

Parti itu hanya bersinar di Negeri Sembilan, memenangi 14 kerusi. 

Secara keseluruhan, Umno hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya, walaupun diberi laluan oleh PH untuk bertanding di kerusi campuran dan separa bandar.

Puad dalam pada itu berkata ada cara untuk Umno mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

“Menteri-menteri Umno mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.

“Sebab itu Umno mesti kekal dalam kerajaan perpaduan.

“PH-BN perlu mengukuhkan kerjasama. Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah.” katanya, lapor MalaysiaNow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here