Jangan jadikan keputusan PRN untuk ‘hukum’ rakyat Kedah

0
115

Oleh BADLISHAH MAT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berharap segala urusan pentadbiran kerajaan selepas ini dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya tanpa menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah untuk ‘menghukum’ rakyat negeri itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah yang mengetuai negeri itu meraih kemenangan besar pada pilihan raya berkenaan menyatakan kesediaan kerajaan negeri Kedah membuka lembaran baharu dalam soal hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Saya sudah bersedia untuk lembaran baharu, kalau mereka bersedia, Alhamdulillah. Tetapi kalau mereka masih simpan (dendam) di dalam hati, tak tahu lah.

“Mana boleh simpan dalam hati hal-hal pemerintahan kerajaan, urusan kena ikut prosedur kerajaan. Hal-hal hati tak boleh bawa masuk ke dalam itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit.

Muhammad Sanusi berkata, kepimpinan Kerajaan Persekutuan perlu memberikan tumpuan yang sama kepada semua negeri termasuk yang ditadbir pembangkang.

“Takkan pilihan rakyat nak dimarah pula kan, menghukum rakyat Kedah kerana rakyat pilih PN, mana boleh macam itu, (pilihan raya) ini (proses) demokrasi. Duduk dalam politik sudah berpuluh tahun tapi demokrasi tak faham, tak boleh begitu. Rakyat buat pilihan kemudian kita hukum dia, kena ingat dosa pahala sama,” tambahnya.

Sebelum ini, hubungan Muhammad Sanusi dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet dilihat tegang susulan kelantangannya mengkritik pentadbiran negara terutama sepanjang kempen PRN.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pelantikan 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah akan dibuat secepat mungkin dan akan diselesaikan dalam minggu ini setelah nama-nama calon itu ditentukan oleh kepimpinan parti-parti komponen dalam PN.

“Kita akan adakan mesyuarat parti petang ini dan saya akan tengok nama-nama yang dicadang sebelum memilih mereka yang mampu untuk melaksana dan menterjemahkan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Tetapi, memang susah untuk pilih kerana kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ada kelayakan yang baik. Jumlah Exco masih sama iaitu 11 orang termasuk saya dan portfolio mungkin ada penyesuaian mengikut keperluan semasa,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengakui tanggungjawab sebagai Menteri Besar pada penggal ini lebih mencabar kepadanya kerana bimbang dengan hasrat rakyat yang meletakkan harapan terlalu tinggi kepadanya.

“Saya berazam dan akan cuba sedaya upaya tunaikan amanah rakyat. Kita pun ada 32 lagi ADUN pelbagai latar belakang dan mereka juga sudah pasti mempunyai azam yang sama untuk berkhidmat kepada rakyat Kedah.

“Ada tiga ADUN pembangkang bukan Melayu tetapi saya tiada masalah untuk beri khidmat bakti kepada rakyat bukan melayu di Kedah kerana kita sama sekali tidak mendiskriminasi atau memilih bulu terhadap rakyat Kedah,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here