Buat kali pertama, Adun bukan Melayu dominasi kerajaan Selangor

0
172

BUAT pertama kali di Selangor, wakil rakyat bukan Melayu membentuk majoriti dalam blok pemerintah, realiti pedih bagi gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menghabiskan sembilan bulan cuba melawan reputasi ditolak pengundi Melayu.

Keputusan itu juga berlaku selepas kempen dalam talian yang sengit oleh penyokong PH menjelang beberapa jam sebelum penutupan pusat mengundi 12 Ogos lau, menggesa penyokong keluar dan mengundi sambil mengingatkan mereka bakal berdepan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Selangor yang kini di bawah PH. 

Kali terakhir Selangor menyaksikan bukan Melayu mendominasi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah pada Pilihan Raya Umum 1969, apabila Parti Perikatan pimpinan Umno, gabungan politik sebelum wujudnya BN, berdepan kekalahan besar di tangan DAP dan Gerakan yang dikuasai Cina, yang bersama-sama dengan calon bebas menyaksikan keputusan seri 14-14. 

Parti Perikatan kemudiannya mampu membentuk kerajaan dengan sokongan satu-satunya wakil rakyat bebas, walaupun iklim politik pasca pilihan raya yang berbaur perkauman kemudian mencetuskan salah satu rusuhan kaum terburuk di Malaysia.

Keputusan pilihan raya 1969 bagaimanapun berlatarbelakangkan kaum Cina sebagai kumpulan etnik majoriti di Selangor, yang mempunyai populasi kira-kira 1.6 juta pada masa itu. 

Statistik dari tahun 1970 menunjukkan orang Cina membentuk kira-kira 46% di Selangor, manakala Melayu 35%, dan India 18%.

Sejak itu, faktor penghijrahan antara negeri, kadar kelahiran tinggi dan pembukaan bandar baru menyaksikan orang Melayu terus menjadi kaum majoriti sejak awal 80-an. 

Menurut bancian 2020, orang Melayu membentuk 60.6% daripada 6.4 juta penduduk, diikuti Cina (27.3%) dan India (11.3%).

Walaupun perpecahan kaum ini digambarkan di DUN – 38 daripada 56 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), atau kira-kira 68% adalah Melayu – sebahagian besar daripada mereka bukan dalam blok kerajaan.

Hanya 16 daripada 34 Adun PH-BN adalah Melayu. 

Manakala kesemua 22 kerusi dimenangi PN disandang wakil rakyat Melayu, menjadikan mereka blok pembangkang Melayu terbesar dalam sejarah Selangor. 

Perbandingan terdekat adalah ketika BN tewas di Selangor pada pilihan raya 2008, menyebabkan 18 Adun Melayu daripada Umno beralih ke bangku pembangkang. 

Penguasaan Umno dikurangkan kepada 12 kerusi pada 2013, dan kepada hanya empat pada 2018. 

Ini dapat difahami, kerana dalam ketiga-tiga pilihan raya ini, PH mempunyai rakan Melayu yang kuat: PAS pada 2008 dan 2013, dan Bersatu pada 2018. 

Ini tidak berlaku pada Sabtu lalu, apabila PH bertanding tanpa parti Melayu yang kuat. 

Umno, yang sudah dikalahkan oleh PN pada pilihan raya umum tahun lalu, hanya berjaya memperoleh dua kerusi selepas tewas kepada calon Bersatu dan PAS, situasi yang turut dapat dilihat di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Perebutan pelbagai jawatan negeri

Keputusan pilihan raya di Selangor, yang demografi kaumnya mencerminkan keadaan negara secara amnya, akan merumitkan usaha gabungan PH-BN untuk menepis persepsi bahawa ia berkuasa atas sokongan bukan Melayu. 

Semua mata akan tertumpu kepada DAP dan bagaimana ia menguruskan dominasinya di Selangor.

Sebelum pilihan raya, parti itu menuntut jawatan speaker, mengatakan ini sebagai pertukaran kepada kerusi Dusun Tua yang diberikan kepada calon Umno. 

Ia adalah satu daripada dua kerusi yang diwakili oleh seorang Adun Melayu DAP. 

Perebutan jawatan dalam 12 majlis kerajaan tempatan di Selangor juga akan menjadi lebih menarik, di mana ahli politik parti memerintah sering diperuntukkan jawatan ahli majlis. 

Kali ini, dengan Umno berada dalam gabungan, parti itu berkemungkinan menuntut lebih banyak perwakilan dalam majlis tempatan, perkembangan yang boleh membingungkan dalam kalangan NGO dan aktivis yang menyalahkan parti berkenaan atas penyelewengan masa lampau.

Kempen ajak keluar mengundi 

Sementara itu, terdapat persoalan yang masih belum terjawab mengapa PN tidak dapat menawan lebih banyak kerusi di Selangor walaupun penduduk Melayunya ramai, segmen yang menyokong kuat gabungan itu.

Kempen dalam talian merayu lebih ramai  penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional turun mengundi.
Kempen dalam talian merayu lebih ramai penyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional turun mengundi.

Buat masa ini, jawapan yang jelas terletak pada peratusan keluar mengundi, iaitu 72% di Selangor.

Adalah selamat untuk mengandaikan peratusan pengundi Melayu yang lebih besar pada hujung minggu lalu boleh menyaksikan PN memenangi lebih banyak kerusi di negeri ini, terutamanya di kerusi separa bandar dan bandar yang berpenduduk padat dengan pengundi Melayu yang ramai. 

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengakui perkara ini, dengan berkata gabungan itu akan dapat menawan negeri itu sekiranya lebih ramai yang keluar mengundi. 

Walaupun tiada kaedah yang tepat untuk mengukur peratusan keluar mengundi berdasarkan kaum, ia tidak menghalang penyokong PH untuk melancarkan kempen dalam talian yang sengit untuk mendapatkan orang Cina, yang dilihat sebagai deposit selamat gabungan itu sejak 2008, untuk keluar mengundi.

Ketika kemas kini statistik setiap jam menunjukkan peratusan keluar mengundi rendah di beberapa bandar utama dengan sebahagian besarnya pengundi Cina, beberapa pemimpin dan penyokong PH menuju ke media sosial dengan mesej tular dan grafik menggesa orang ramai untuk mengundi. 

Adalah jelas kepada siapa mesej itu disasarkan, kerana banyak yang ditulis dalam bahasa Cina. 

Malah ahli akademik Wong Chin Huat, yang mengakui dirinya penganalisis politik bebas, memuat naik kiriman di Facebook yang mendakwa “kehadiran pengundi Cina dan India kelihatan rendah”.

“Bersiaplah untuk Selangor dan Negeri Sembilan menjadi seperti Kedah selepas malam ini,” kata Wong, sebelum beliau terlibat dalam perdebatan hangat dengan netizen yang mengkritik hantarannya kerana mencetuskan situasi panik.

“Kenapa mesti bersiap?” tanya seorang pengguna maya di ruang komen, di mana Wong menjawab: “Hanya kerana anda suka Sanusi, saya tidak dapat berdepan prospek seperti itu?”, merujuk kepada pemimpin popular PAS Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

“Tahukah anda mengapa kita diciptakan berbeza?” soal Wong.

Jurucakap kontroversi DAP Hew Kuan Yaw juga aktif berkempen, berulang kali memberi amaran tentang “gelombang hijau” akan berkuasa. 

“Jika ada kadar pertumbuhan purata 5% sejam, purata peratusan keluar mengundi di semua lima negeri sepatutnya mencecah 70%, kecuali Kelantan, hehehehe,” katanya dalam beberapa kiriman dalam bahasa Cina yang memberi amaran bahawa lebih ramai orang Melayu keluar.

Malah calon DAP Subang Jaya, Michelle Ng pula menggesa orang ramai untuk memerhati orang di sekeliling mereka sama ada jari mereka ditandakan dakwat kekal ataupun tidak sebagai bukti sudah turun mengundi.

“Kalau you all dah undi, bila keluar untuk makan tengah hari, tolonglah tengok siapa jarinya masih bersih, tolong tegur mereka, pastikan mereka keluar undi,” katanya dalam video yang disiarkan pada 1 tengah hari pada hari pengundian, lapor MalaysiaNow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here