PN menang besar tanda rakyat tolak BN-PH -Muhyiddin

0
178

KEJAYAAN Perikatan Nasional (PN) memenangi 146 kerusi DUN dari 245 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya enam negeri ini membuktikan penolakan rakyat terhadap kerajaan campuran.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN mencatat kemenangan besar dalam mempertahankan tiga negerinya atas sokongan padu pengundi kepada gabungan itu.

“146 calon PN yang telah memenangi PRN. Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan kepada PN yang bertanding 245 kerusi. Ini bermakna PN telah memenangi 60% kerusi yang ditandingi.

“Kejayaan PN mempertahankan negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan kemenangan besar membuktikan sokongan padu pengundi-pengundi kepada PN.

“Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi,” katanya pada sidang media tengah malam tadi.

Pada pilihan raya negeri melibatkan enam negeri semalam, PN berjaya mempertahankan tiga negeri – Kedah (33-3), Terengganu (32-0) dan Kelantan (43-2) serta menambah kerusi di tiga negeri yang dikuasai BN-PH.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menggesa perdana menteri dan timbalannya itu meletakkan jawatan.

“Maka benarlah pilihan raya negeri ini merupakan referendum  penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi yang menerajui gabungan ini mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta merta,” katanya.

Sebelum itu beliau memaklumkan PN berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN-PH di Selangor apabila memenangi 22 daripada 56 kerusi DUN negeri itu.

“Di Selangor PN berjaya memenangi 22 kerusi daripada hanya 5 kerusi yang dimenangi sebelum ini. Kesemua 22 kerusi itu ialah majoriti Melayu yang membuktikan PN mendapat sokongan besar pengundi-pengundi Melayu khasnya di Selangor.

“Kejayaan 22 kerusi ini juga bermakna PN telah berjaya menafikan majoriti dua pertiga kerajaan PH-BN di Selangor yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat,” katanya.

Malah beliau memberitahu tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh yang sebelum ini merupakan kubu kuat PKR turut berjaya diterobosi calon-calonnya selepas kejayaan merampas Parlimen itu pada PRU-15 lalu.

“Di Pulau Pinang, seperti dijangka, gelombang sokongan pengundi Melayu di negeri itu telah membawa kejayaan yang besar kepada PN dengan memenangi 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu.

“Ini adalah satu tamparan hebat kepada Anwar Ibrahim apabila kesemua kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh calon-calon PN,” katanya.

Minggu lalu Anwar dilaporkan berharap agar tiga kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh menang bergaya pada PRN ini.

Muhyiddin berkata, kemenangan besar gabungan itu kali ini menandakan PN adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa ini.

Katanya, UMNO menjadi tidak relevan lagi apabila hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi ditandingi.

“Ini bermakna UMNO kalah teruk 82% daripada keseluruhan jumlah kerusi tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here