PRN: Jentera UMNO ‘berkocak’, masa terbaik PN rampas kerusi Hulu Besut

0
203

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PERIKATAN Nasional (PN) memiliki peluang terbaik untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut yang dikuasai UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Ini tidak mustahil memandangkan kedudukan UMNO Bahagian Besut ketika ini dikatakan sedang berkocak menyebabkan jentera parti itu seakan berpecah dengan wujudnya kem tertentu.

Difahamkan rasa tidak berpuas hati itu timbul berikutan kepimpinan parti masih mencalonkan Datuk Nawi Mohamad sebagai calon di kerusi Hulu Besut sedangkan beliau telah tewas dalam dua ‘perlawanan’ dengan ‘pukulan TKO’ sebelum ini.

Dua ‘perlawanan’ tersebut ialah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Besut ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November lalu.

Selain itu beliau juga gagal untuk mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut apabila tewas kepada Datuk Muhammad Pehimi Yusof baru-baru ini.

Datuk Nawi Mohamad (BN)

Kekalahan dialami Nawi menyebabkan timbul rasa tidak berpuas hati dalam kalangan ahli dan para penyokong UMNO di bahagian berkenaan.

Ada di antara mereka mendakwa atas dasar apa calon yang tewas dalam PRU15, ditolak rakyat dan penyokong ditampilkan semula untuk bertanding bagi kerusi DUN.

Lebih malang calon terbabit juga kini dikatakan tidak memegang sebarang jawatan dalam parti setelah tewas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih.

Nawi yang merupakan penyandang kerusi Hulu Besut sebelum itu dikatakan pernah ‘menentang’ Datuk Seri Idris Jusoh bagi merebut jawatan Ketua UMNO Besut.

Bagaimanapun, sebelum bertanding Idris mengumumkan untuk melepaskan jawatan tersebut dan menyerahkan jawatan itu kepada beliau.

Pada awal tahun ini pula, Nawi terus menimbulkan kocakan dalam parti berikutan tularnya sepucuk surat yang ditandatanganinya bagi menamatkan Pehimi sebagai Pengerusi Ketua Urusetia DUN Kota Putera dan DUN Jertih Besut bagi tempoh 27 Februari 2023 hingga 19 Mac 2023.

Surat pemecatan Pehimi yang bertarikh 27 Feb 2023 itu dikatakan ada kaitan dengan tindakan beliau yang bakal bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian itu.

Justeru, apabila Nawi dicalonkan semula di kerusi Hulu Besut banyak pihak cuba mempertikaikan perkara itu kerana kepimpinan parti cuba meminggirkan Timbalan Ketua UMN0 Bahagian itu, Mahadi Hasan.

Selain itu, ada pihak mengatakan menyisihkan Mahadi menyebabkan tiada lagi legasi Idris Jusoh dalam PRN kali ini kecuali Pehimi.

Maka itu, ada dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO Besut dikatakan amat kecewa dengan keputusan tersebut.

Berdasarkan maklumat terkini, kem UMNO termasuk jentera parti dikatakan akan melakukan penolakan sekali lagi terhadap Nawi sepertimana berlaku sewaktu PRU15.

Pemilihan Nawi sebagai calon dalam PRN di Hulu Besut kali ini juga dikatakan beliau berjaya melobi Presidennya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam PRU15 lalu, beliau yang mendapat 30,903 undi tewas kepada calon PN, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang menang dengan majoriti 18,666 undi.

Turut bertanding ialah calon PH, Abdul Rahman Abdul Aziz yang mendapat 4,339 undi dan Wan Nazari Wan Jusoh (Pejuang) yang mendapat 553 undi.

Bagi penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu, kocakan politik dalaman yang berlaku ini membuka ruang terbaik kepada calon Parti Bersatu mewakili PN, Hussaimi Hussin untuk merampas kerusi tersebut yang selama ini dikuasai UMNO.

Mohd Husaimi Hussin (PN)

Ini kerana selain berhadapan dengan masalah dalaman dan ditolak oleh ahli dan penyokong sendiri, kehadiran calon Bebas juga sedikit sebanyak bakal merencatkan keegoan calon UMNO-BN.

Dalam PRN pada Sabtu ini, kerusi Hulu Besut bakal menyakaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN, PN dan seorang calon Bebas, iaitu bekas pesara guru Dr. Che Harun Kamariah.

Dr Che Harun Kamariah (Bebas)

Pertandingan ini dijangka sengit dan dikatakan bakal menentukan masa hadapan Nawi bersama UMNO Besut.

Pada PRU14 lalu Nawi yang mendapat 8,045 undi menang di Hulu Besut dengan majoriti 1,469 undi menewaskan calon Pas Ustaz Mat Daik yang mendapat 6,576 undi dan Ismail Abdul Kadir (PKR) yang mendapat 860 undi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here