PRN: Kepala babi diletak depan bilik gerakan PN DUN Juasseh

0
151

BILIK gerakan Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di Kuala Pilah hari ini dikejutkan dengaa kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu di hadapan bilik gerakan berkenaan.

Calon PN DUN Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut pukul 8.30 pagi, disertai dengan gambar.

Menurutnya, selain bilik gerakan di situ, beliau difahamkan terdapat kejadian sama berlaku membabitkan sebuah kediaman seorang pegawainya sekitar di Kuala Pilah.

“Dalam politik macam itulah kan, kita sudah menjangkakan lebih teruk daripada itu pun mungkin berlaku.

“Tetapi tidak mengapalah kita kekal tenang, saya ingat ini mungkin tindakan-tindakan untuk mengalihkan tumpuan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang tinggal berbaki dua tiga hari sahaja.

“Ia juga mungkin tindakan orang terdesak dan kita anggap ini sebahagian daripada cabaran. Kita tak boleh tuduh sesiapa sebab kita nak jaga sensitiviti banyak pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di bilik gerakan berkenaan.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang.

Dalam pada itu, Eddin yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah turut mengingatkan supaya jentera partinya kekal positif.

“Dalam ceramah saya malam tadi, saya nasihatkan jentera parti kalau kita nampak bendera pihak lawan itu tumbang kita sama-sama naikkan. Kita mahu satu budaya politik yang sihat dan positif.

“Sebab peredaran zaman dan pendekatan politik itu lebih matang, tetapi kalau ada sesetengah orang yang masih nak gunakan cara begini, itu sangat memalukan agama,bangsa dan juga masa depan anak-anak kita yang melihat perkara negatif dan tak sihat macam ini,” katanya.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pengarah pilihan raya PN DUN Juasseh.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan laporan dan ia masih dalam siasatan polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here