Pekerja ladang mengaku bersalah cuba bunuh isteri dengan cara simbah petrol, bakar

0
111

Oleh WARTAWAN SATU BERITA


SEORANG pekerja ladang berusia 36 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan cubaan membunuh isterinya sendiri dengan cara menyimbah petrol dan membakar mangsa, pada 31 Julai lalu.

Tertuduh, R. Rethinasamy membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, Rethinasamy didakwa melakukan kesalahan menyebabkan kecederaan seorang wanita di ladang Mayfield, Tasek Gelugor di Butterworth, pukul 10.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Wan Amira Ruzaini menentang sekeras-kerasnya sebarang ikat jamin atas faktor tahap keseriusan jenayah yang dilakukan tertuduh.

“Mangsa yang terlibat adalah isteri OKT (Orang Kena Tahan) sendiri dan seperti yang tular di media sosial, tertuduh bertindak membakar isteri sendiri.

“Mangsa kini masih tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat melecur tahap ketiga di keseluruhan badan,” katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 September depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan lantikan peguam.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita melecur dipercayai dibakar suaminya menggunakan petrol di rumah mereka di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun melecur sehingga 27 peratus pada anggota badan dan siasatan awal polis mendapati kejadian itu disebabkan perselisihan faham keluarga. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here