Wanita dituduh dera anak sendiri bersama rakan

0
81

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG wanita mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen 2 Sungai Petani, Kedah hari ini atas dua pertuduhan mendera anaknya sendiri pada bulan lalu dan awal bulan ini.

Tertuduh yang berusia 41 tahun membuat pengakuan itu di depan Hakim, Azman Abu Hassan sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil kepadanya oleh jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, wanita berkenaan yang bekerja sebagai pencuci pinggan, dituduh menganiaya kanak-kanak tersebut yang berusia 13 tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan di muka, dahi, kepala, tangan dan siku kiri.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan sama yang mungkin mengakibatkan kecederaan di depan badan.

Sementara pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11.30 pagi, 1 Ogos lalu manakala untuk pertuduhan kedua, dia dituduh melakukannya pada Julai lalu di sebuah rumah di Blok H, Flat Paya Nahu 1, Sungai Petani.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 6 September depan dengan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua kes dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nabilah Md. Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen 1, rakan tertuduh yang merupakan seorang wanita berperwatakan lelaki berusia 34 tahun, turut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan mendera mangsa sama.

Mengikut kertas pertuduhan, individu berkenaan didakwa menganiaya kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan di muka dan kepala.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan di depan Hakim, Roslan Hamid dengan tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Semua pertuduhan melibatkan kedua-dua individu berkenaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here