‘Sampel kajian EMGC terpesong’ – Dr Marzuki

'Apabila sampel terpesong, maka dapatan kajian juga terpesong'

0
188

KESAHAN dapatan kajian EMGC mengenai Pilihan Raya Negeri Selangor boleh dipertikaikan kerana mengandungi dua kelemahan besar.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, selain persampelan, kelemahan besar lain kaji selidik tersebut berjaya mencerap 100 peratus parti responden.

“Saya boleh menerima kesahan kajiselidik ini jika ia menyatakan sekitar 20 peratus responden Melayu mengundi Pakatan Harapan dalam PRU-15 kerana itulah demografi sebenar pengundi Melayu di Selangor.

“Jika ada mana-mana pollster yang boleh mencerap 100 peratus pilihan parti responden, maka ini adalah suatu keajaiban,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Terdahulu beberapa media melaporkan dapatan kajian EMGC yang antara lain menyebut 73 peratus responden Selangor berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan.

Berikut kenyataan penuh Dr. Marzuki.

Saya meneliti hasil kajian EMGC mengenai PRN Selangor yang disiarkan oleh akhbar-akhbar utama hari ini.

Kajian ini mendapati 52% pengundi Melayu di Selangor akan mengundi PH dalam PRN nanti.

Dalam situasi pertembungan 2 penjuru antara PN dan PH, kajian ini mendedahkan 61% pengundi Melayu akan mengundi PH dan 39% akan mengundi PN. Manakala dalam pertembungan 2 penjuru antara PN dan BN, 58% pengundi Melayu akan mengundi BN dan 42% akan mengundi PN.

Berbeza dengan banyak kajian lain, kajian oleh EMGC ini berjaya mencerap 100% pilihan parti pengundi. Tidak ada seorang pun yang kata tidak pasti, tidak tahu atau undi itu rahsia.

Saya lihat ada dua kelemahan besar kajian ini.

Pertama dari segi persampelan. Kajian ini mendedahkan 52% daripada responden Melayu dalam kajian ini mengundi PH dalam PRU15 di Selangor. Sedangkan analisa data sebenar keputusan PRU15 di Selangor menunjukkan hanya 24% pengundi Melayu di Selangor mengundi PH dalam PRU15.

Untuk analisa lanjut mengenai undi Melayu di Selangor dalam PRU15 boleh rujuk kajian oleh Bridget Welsh di sini dan artikel saya yang disiarkan dalam jurnal ISEAS Perspective.

Apabila 52% daripada responden dalam kajiselidik ini adalah pengundi PH, maka tidak hairanlah jawapan kepada soalan-soalan dalam kajiselidik ini lebih cenderung untuk menyokong PH.

Saya boleh menerima kesahan kajiselidik ini jika ia menyatakan sekitar 20% responden Melayu mengundi PH dalam PRU 15 kerana itulah demografi sebenar pengundi Melayu di Selangor.

Dengan erti kata lain, sampel di dalam kajiselidik ini “skewed” atau terpesong. “Rule of thumb” dalam mana-mana kajiselidik ialah “You must get the right sample in order to get the right findings”. Apabila sampel terpesong, maka dapatan kajian juga terpesong.

Satu lagi, jika benarlah 52% pengundi Melayu menyokong PH dalam PRU15 di Selangor, sudah tentulah PH sapu bersih semua kerusi Parlimen di Selangor dalam PRU15. Faktanya tidak begitu. PN menang 6 kerusi majoriti Melayu di Selangor dalam PRU15.

Keduanya ialah kajiselidik ini berupaya mencerap 100% pilihan parti responden. Ini luar biasa. Sepanjang pengalaman saya terlibat dalam pelaksanaan kajiselidik kajian pendapat sejak tahun 2008, saya tidak pernah menemui mana-mana kajian yang berupaya mencerap 100% pilihan parti responden. Akan ada lebih kurang 30% – 40% responden yang jawab tidak tahu, tidak pasti, undi itu rahsia atau menolak untuk menjawab.

Kadang-kadang sehingga hari terakhir kempen pun masih ada responden yang tidak mendedahkan parti mana yang mereka akan undi. Ini bukan bermakna mereka gagal membuat pilihan. Sebahagian besarnya telah membuat pilihan tetapi tidak mahu mendedahkannya.

Jika ada mana-mana pollster yang boleh mencerap 100% pilihan parti responden, maka ini adalah suatu keajaiban.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here