Saifuddin diingatkan jangan jadikan isu REE modal politik

0
141

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sepatutnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berkaitan unsur nadir bumi (REE).

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, Saifuddin tidak wajar mendedahkan secara terbuka maklumat berkaitan REE yang dibimbangi boleh menjejaskan siasatan selain mengelirukan rakyat Kedah.

Beliau juga mengingatkan Saifuddin supaya tidak menjadikan siri pendedahan itu sebagai modal politik.

“Prosedur undang-undang cukup jelas dan wajar dipatuhi, seeloknya biarlah pihak penguat kuasa melaksanakan tanggungjawab menyiasat, sebelum dilakukan pendakwaan. Pihak yang menentukan salah atau tidak adalah hakim di mahkamah.

“Saifuddin tidak boleh berikan bayangan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencuri atau bersubahat kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, bawah Perkara 5 klausa (1) iaitu tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang,” katanya di Alor Setar hari ini.

Khairul Anuar berharap semua pihak menyerahkan kepada undang-undang dalam menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau sebaliknya, dan bukan ‘dibicarakan’ atas pentas politik atau debat.

“Dalam sidang media terbaharu, Saifuddin sendiri mengatakan sebagai Setiausaha Agung PKR beliau mendesak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan polis melakukan siasatan sedangkan beliau adalah Menteri Dalam Negeri.

“Dalam sidang media sama, Saifuddin juga mengakui pendedahan isu REE adalah bagi tujuan kepentingan politik untuk pilihan raya negeri (PRN) Kedah,” dakwanya.

Menurutnya, strategi seumpama itu tidak wajar digunakan susulan rakyat kini sudah bijak dan peka terhadap proses undang-undang.

Khairul Anuar turut mempersoal tindakan Saifuddin sebelum ini yang turut membangkitkan isu kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Individu yang dedahkan isu LCS orang yang sama, iaitu Saifuddin. Tentu semua masih ingat Saifuddin cabar agar tiga dokumen projek LCS dinyahklasifikasikan. Selepas membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN), cerita LCS sudah tidak didengari malah peruntukan bertambah dari RM6 bilion kepada RM11 bilion.

“Dulu mereka cakap ribuan juta wang rakyat hilang dalam projek LCS, sekarang ratusan juta dalam projek REE, selepas ini berbilion wang rakyat, semua itu hanya retorik,” katanya lagi.

Khairul Anuar yang juga calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas berkata, rakyat hanya mahukan tawaran yang menjamin masa depan dan bukan disajikan dengan propaganda politik semata-mata.

“Perikatan Nasional mempunyai 17 tawaran manifesto untuk rakyat Kedah dengan slogan ‘Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’.

“Ia diyakini mampu memenuhi hasrat menjadikan negeri ini sebagai ‘The Greater Kedah’ menjelang 2035 seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035. Matlamat kita jelas, hala tuju juga jelas, ini yang rakyat mahu,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here