PRN:’Saya dapat rasakan angin perubahan di Selangor’, kata Muhyiddin

0
176

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin angin perubahan akan berlaku di Negeri Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

“Insya-Allah, berkat sokongan padu seluruh rakyat di negeri Selangor, baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, Perikatan Nasional akan beroleh kemenangan besar dalam pilihanraya negeri pada 12 Ogos nanti dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, prihatin dan stabil.

“Saya dapat merasakan angin perubahan sedang bertiup kencang di negeri Selangor dan mudah-mudahan ia akan membentuk suatu gelombang sokongan rakyat yang kuat dan padu kepada Perikatan Nasional,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengumumkan tawaran PN Selangor menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor yang bernilai lebih RM2 bilion, dalam Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Negeri Selangor di Shah Alam malam ini.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan sesi soal jawab pada Majlis Pelancaran Tawaran Perikatan Nasional Pilihan Raya Negeri Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Katanya, PN percaya akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih prihatin terhadap rakyat sekiranya diberikan mandat pada 12 Ogos depan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada semua pengundi di negeri Selangor supaya keluar beramai-ramai pada hari pengundian nanti dan undilah calon-calon Perikatan Nasional.

“Mudah-mudahan dengan sokongan anda semua, kita akan dapat membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih prihatin terhadap nasib rakyat dan lebih berkemampuan untuk memacu kemajuan dan pembangunan negeri Selangor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi utama bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global,” katanya, lapor Astro Awani.

Hadir sama dalam acara berkenaan ialah Pengerusi PN Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan PN peringkat negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here