Tukang masak didakwa 7 pertuduhan rogol, liwat pelajar Tingkatan Tiga

0
169

SEORANG tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar Tingkatan Tiga antara Mei hingga Jun tahun ini.

Zulhazreen Shah Zulkufli, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Dia berdepan tiga pertuduhan merogol dan tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 15 tahun.

Sinar Harian melaporkan, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di dalam kebun kelapa sawit di Jalan Bakri Muar pukul 1 pagi antara Mei hingga Jun lalu.

Pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Kesalahan amang seksual pula dituduh mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Danial memberitahu mahkamah kesalahan tersebut tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000.

Tertuduh dalam rayuan meminta mahkamah agar merendahkan ikat jamin dan akan mendapatkan khidmat peguam bagi prosiding seterusnya.

Hakim Abu Bakar kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

Sebutan kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 26 September depan.

Dalam kes berasingan, seorang pekerja kilang dan seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap gadis bawah umur pada Julai.

Tertuduh, Fakhrul Amin Mohd. Nor, 21, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam dan Muhammad Asri Ahmad Daud, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Fakhrul Amin didakwa melakukan amang seksual dengan cara menyentuh kemaluan mangsa berusia 13 tahun bagi tujuan maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Batu Pahat pada kira-kira pukul 3 pagi, 27 Julai lalu.

Muhammad Asri yang juga seorang peniaga didakwa menyentuh pipi dan mulut mangsa berusia 14 tahun di dua lokasi berasingan.

Kejadian pertama dilakukan di belakang sebuah rumah di Muar pada pukul 5.40 petang 19 Julai lalu.

Insiden kedua pula dilakukan tertuduh di sebuah padang lapang di Muar pada pukul 6 petang hari yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Abu Bakar membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas Fakhrul Amin dan RM10,000 kepada Muhammad Asri dengan masing-masing seorang penjamin selain kedua-duanya tidak boleh mengganggu mangsa serta perlu melapor diri balai boleh berhampiran setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 September depan bagi sebutan semula dan serah dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here