Ras Adiba tiada masalah tak jadi calon PRN, sedia bantu PN berkempen

0
168

BEKAS senator, Datuk Ras Adiba Radzi, mengambil sikap berlapang dada selepas namanya tidak menjadi pilihan Perikatan Nasional (PN) untuk dibertandingkan sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.

Kata aktivis dan bekas personaliti televisyen itu, penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini bukan bertujuan untuk menjadi calon pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos nanti.

“Semasa menyertai Bersatu hari tu, memang tak ada terfikir langsung untuk bertanding kerana misi utama saya ialah untuk menyokong parti saja.

“Saya faham sekiranya ada pihak yang mungkin tertanya-tanya apa perasaan saya apabila tak dicalonkan… Saya OK saja,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Ras Adiba dilantik sebagai Senator bagi mewakili golongan kurang upaya (OKU) pada Mei 2020 iaitu selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan dan jawatan Perdana Menteri digantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin pula merupakan Presiden Bersatu merangkap pengerusi PN.

Beliau juga dilantik menjadi pengerusi agensi berita rasmi negara ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Menurut Ras Adiba, beliau menyertai Bersatu untuk menyokong perjuangan gabungan PN dalam membela nasib rakyat termasuk golongan OKU.

PRN akan melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan akan membuka tirai secara rasmi apabila penamaan calon dijalankan esok.

Sementara itu mengulas mengenai percaturan PN di Negeri Sembilan, Ras Adiba, 55, menyifatkan senarai calon yang dipertaruhkan kali ini mampu memberikan kemenangan buat mereka.

“Syukur alhamdulillah, saya berpuas hati apabila ada banyak wajah baru dan parti memberi peluang kepada mereka untuk bertanding.

“Ini memang untuk kesejahteraan semua. Walaupun mungkin ramai calon yang orang tak berapa nak kenal, tapi muka-muka itu nampak bersungguh-sungguh untuk berkhidmat demi rakyat,” katanya, lapor Malaysiakini.

Menegaskan lagi sokongannya tidak berbelah-bahagi kepada Bersatu, Ras Adiba berkata, sebagai anak jati Seri Menanti di Negeri Sembilan beliau bersedia turun padang memberikan sokongan.

Beliau juga bersiap-siaga sekiranya menerima arahan daripada pihak atasan untuk turun berkempen di negeri lain yang turut terlibat PRN.

“Saya orang Negeri Sembilan akan turun sokong dan berkempen. Ini tak menjadi masalah sebab tiap-tiap minggu saya akan balik kampung.

“Sekiranya diperlukan di lokasi lain, saya tetap akan turun berkempen juga, insya-Allah,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here