AJK Pemuda DAP: Kenapa Guan Eng tidak turut digugurkan?

0
152

SEORANG pemimpin Pemuda DAP meminta pucuk pimpinan parti itu menjelaskan kenapa pengerusi mereka, Lim Guan Eng, tidak digugurkan daripada menjadi calon dalam pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Pulau Pinang M Kogilan berkata dia kecewa melihat senarai nama calon-calon yang diputuskan parti.

Katanya berdasarkan senarai itu ada sekurang-kurangnya lima muka lama digugurkan.

“Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bahawa membawa pembaharuan dalam setiap pilihan raya termasuk menggugurkan beberapa ‘orang lama’ adalah proses biasa.

“Justeru saya ingin bertanya kenapa parti tidak menggugurkan nama Lim Guan Eng?

“Beliau juga orang lama yang bertanding dalam pilihan raya sejak 1986,” katanya.

Tambah Kogilan dia juga tertanya-tanya jika Lim memang tidak berniat untuk membuka ruang kepada muka baru bagi menggantikannya.

“Atau adakah dia dilihat sebagai orang muda yang masih perlu bertanding dalam PRN kali ini,” katanya.

Sebelum ini, Loke berkata keputusan DAP menggugurkan lima exco Pulau Pinang bagi menghadapi PRN kira-kira dua minggu lagi adalah usaha untuk meremajakan parti itu agar ia kekal relevan.

Katanya, keputusan diambil atas pertimbangan penglibatan muka baru akan membawa nafas baru kepada parti itu yang sudah memerintah tiga penggal di Pulau Pinang.

“Antara tokoh yang sudah lama berkhidmat termasuk P Ramasamy yang sudah menjadi timbalan ketua menteri II selama tiga penggal, manakala Chong Eng menjadi exco selama dua penggal, dan sebelum itu banyak penggal sebagai ahli parlimen,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here