Penjawat awam rugi RM677,565 ditipu sindiket panggilan telefon

0
180

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG penjawat awam berusia 40-an di Kepala Batas, Pulau Pinang berputih mata selepas wangnya sebanyak RM677,565 lesap dipercayai akibat terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’ kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, mangsa mula terjerat dengan sindiket itu selepas menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku daripada pihak Pos Laju.

Jelasnya, suspek berkenaan mendakwa kononnya terdapat bungkusan atas nama mangsa yang berisi kad pengenalan dan lima keping kad bank sebelum panggilan mangsa disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Mangsa kemudiannya dimaklumkan oleh suspek kononnya terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

“Mangsa diminta untuk memberikan maklumat perbankan dan memindahkan wang bagi mengelakkan daripada ditangkap,” katanya kepada pemberita di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Tambah Mohd. Asri, takut dengan dakwaan itu, mangsa kemudiannya melakukan beberapa transaksi pindahan wang ke enam akaun bank yang diberikan suspek bermula 7 Jun sehingga 4 Julai lalu.

Bagaimanapun, ujar beliau, mangsa hanya disedari ditipu selepas membuat semakan melalui aplikasi Semak Mule dan mendapati keenam-enam akaun bank yang digunakan suspek mempunyai rekod bersabit kes penipuan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Asri menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang diterima daripada mana-mana individu mahupun agensi kerajaan serta swasta berhubung apa juga kesalahan yang disabitkan.

“Lakukan semakan dan pengesahan dengan agensi terlibat dan ingin saya tegaskan, sebarang siasatan yang dijalankan pihak polis tidak hanya dilakukan menerusi panggilan telefon.

“Polis juga tidak akan mengarahkan mana-mana individu untuk melakukan sebarang transaksi pembayaran ketika siasatan sedang berjalan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here