Dahulu kritik, kini Khalid Samad kata UMNO parti Melayu terbaik

0
184

PEMIMPIN Amanah Khalid Samad sebelum ini antara individu yang lantang mengkritik Umno, namun hari ini beliau menamakan Umno antara parti Melayu terbaik di negara.

Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah berkata Umno berkongsi pandangan yang sama seperti Pakatan Harapan (PH) dalam politik iaitu untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Parti Melayu ada tiga yang benar-benar berdiri di atas nama parti Melayu. Antara yang tiga ini, kita lihat yang terbaik adalah Umno.

“Kerana paling kurang dia (Umno) faham politik itu untuk apa. Mereka telah berjasa, sekian lama,” katanya dalam satu ceramah PH di Shah Alam seperti dilaporkan FMT.

Beliau tidak menamakan dua lagi parti Melayu itu tetapi difahamkan ia dituju kepada PAS dan Bersatu.

Khalid pada awal tahun ini mencetuskan kemarahan penyokong Umno apabila menggesa permohonan pengampunan bekas presiden parti itu Najib Razak ditolak.

Kenyataan itu menyebabkan Umno Kelantan mengancam untuk menamatkan kerjasama dengan Amanah pada PRN akan datang. Khalid adalah ketua Amanah Kelantan.

Dalam ucapannya, Khalid turut mengecam Bersatu dan menuduh parti itu sebagai pengkhianat.

Katanya, semasa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri beliau mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen ketika pandemik Covid-19.

“Apa manfaat yang datang? Tak boleh ada semak dan imbang, tak boleh tentukan sama ada yang beliau buat itu terbaik atau tidak, tak boleh bahas, duduk di rumah demi PKP (perintah kawalan pergerakan),” katanya.

Khalid juga menyelar PAS, dan mendakwa parti Islam itu sudah jauh terpesong.

“Kalau dulu ikon Nik Aziz Nik Mat (bekas mursyidul am PAS), sekarang ikonnya Sanusi Nor. Banding ikon ini pun kita tahu sejauh mana terpesong mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here