Tiga maut, lapan cedera dalam kemalangan libat tiga kereta di Pekan

0
181

TIGA termasuk dua warga emas maut manakala lapan cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM65, Jalan Kuantan-Segamat di Pekan hari ini. 

Mereka yang meninggal dunia ialah Ayub Zakaria, 66, yang memandu kereta Toyota Vios dan penumpangnya Podziah Daharun, 65, kedua-duanya beralamat di Segamat, Johor serta penumpang Perodua Myvi Muhammad Azrin Ahmad Nazri, 19, dari Sungai Lembing di sini. 

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian kira-kira 11.20 pagi itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki tiga lelaki, lapor Bernama.

“Kemalangan berlaku apabila kereta Alza dari Segamat ke Kuantan disyaki hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Myvi, yang turut dilanggar Vios dari arah Segamat ke Kuantan,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata lapan yang cedera terdiri daripada dua penumpang Alza, pemandu dan tiga penumpang Myvi serta dua penumpang Vios, kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 72 tahun.

Pemandu Alza bagaimanapun tidak cedera. 

Katanya mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala yang cedera turut dirawat di hospital sama dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here