Bekas ADUN DAP digugurkan PRN dicadang jadi Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang

0
325

BEKAS Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang digugurkan DAP daripada bertanding pada PRN bulan depan dicadangkan sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yang juga menteri pengangkutan pada sidang media pengumuman calon DAP Selangor.

Ean Yong, timbalan ketua DAP Selangor menyandang kerusi DUN Seri Kembangan selama tiga penggal bermula 2008 dan pernah menjadi Exco Kerajaan Selangor.

Beliau digantikan Wong Siew Ki yang dipindahkan dari DUN Balakong.

“Beliau (Ean Yong) akan ditugaskan dalam tugasan di peringkat persekutuan, saya telah mencadangkannya (dilantik) sebagai pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang,” katanya.

Loke juga mengumumkan penyandang DUN Banting Lau Weng San yang turut digugurkan dicadang sebagai speaker DUN Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional menang PRN.

Loke berkata, DAP telah mencadangkan kepada Pengerusi PH Anwar Ibrahim supaya melantik bukan ADUN sebagai Speaker DUN Selangor dan ia antara syaratnya dalam menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua kepada Barisan Nasional.

“Sebelum ini kita ada 16 kerusi dan salah seorang daripadanya dilantik speaker, dengan formula dimuktamadkan PM (Anwar Ibrahim) di mana DAP hanya bertanding 15 kerusi (PRN) maka dicadangkan kita kekal speaker.

“Tetapi di kalangan bukan ADUN,” katanya yang mencadangkan Lau dilantik ke jawatan itu.

Dusun Tua, antara dua kerusi disandang komponen Pakatan Harapan (PH) selain Gombak Setia diserahkan kepada BN pada PRN 12 Ogos ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here