Wan Saiful gagal gugur tuduhan rasuah Jana Wibawa

0
169

AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan gagal dalam usahanya untuk membatalkan dua tuduhan rasuah berkait program Jana Wibawa selepas permohonannya ditolak Mahkamah Sesyen.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendawa raya dan pembelaan.

“Permohonan pembelaan ditolak dan kita akan meneruskan perbicaraan,” katanya, lapor FMT.

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan pada 25 hingga 27 Mac, 29 hingga 30 April dan 20 hingga 22 Mei tahun depan. Seramai 27 saksi akan dipanggil.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa menerima rasuah hampir RM7 juta.

Beliau juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Wan Saiful didakwa menerima RM6.9 juta melalui akaun bank CIMB milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank milik Nepturis Sdn Bhd.

Wan Saiful juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan daripada Lian Tan Chuan di Royal Lake Club di Kuala Lumpur pada April tahun lepas untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek Central Spine Road bernilai RM232 juta daripada kerajaan Persekutuan.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan antara Julai dan September tahun lalu dalam usaha syarikat itu mendapatkan surat penerimaan bagi projek terbabit.

Wan Saiful berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit setiap kesalahan.

Pada 30 Mei lalu, Wan Saiful memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan tersebut dengan alasan ia cacat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi berhujah bahawa kedua-dua pertuduhan berkenaan tidak cacat, sebaliknya jelas dan boleh difahami.

Program Jana Wibawa merupakan inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera.

Ia diselubungi kontroversi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos beberapa projek terlalu tinggi dan diluluskan tanpa proses tender.

Pakej rangsangan itu dilaksanakan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here