Tun Mahathir mohon mahkamah arah Anwar kemuka dokumen kes saman

0
219

TUN Dr Mahathir Mohamad sudah memfailkan permohonan, meminta Mahkamah Tinggi mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengemukakan dokumen yang dirujuk dalam pernyataan pembelaan beliau dalam kes saman fitnah mereka yang sedang berjalan.

Bekas perdana menteri itu mahu Anwar mengemukakan dokumen mengenai dakwaan isu menyelamatkan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) pada 1997.

Selain itu, kontrak oleh Telekom Malaysia Bhd kepada Opcom Cables Sdn Bhd (2003), lesen fabrikasi oleh Petronas kepada Kencana Petroleum Bhd (2002) dan laporan berkaitan permintaan Perwaja Steel Bhd untuk mendapatkan dana daripada kerajaan (1998).

KPB, kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd, dimiliki anak Mahathir, Mirzan manakala Mokhzani dan Mukhriz, juga merupakan pemegang saham dalam Opcom.

Mokhzani mengasaskan Kencana Capital Sdn Bhd, yang kemudiannya menjadi Kencana Petroleum Bhd.

Mahathir juga mahu Anwar mengemukakan dokumen berkaitan yuran guaman yang dibayar kepada dua firma guaman, Lewis & Co dan VK Lingam & Co.

Peguamnya, Rafique Rashid Ali memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain telah mengarahkan peguam kedua-dua pihak memfailkan penghujahan mereka pada 8 Sept sebelum mahkamah membuat keputusan pada 2 Oktober.

Mahathir menyaman Anwar atas kenyataan yang dibuat pada Kongres PKR pada 18 Mac yang menggelarnya sebagai rasis dan mengatakan beliau memperkayakan keluarganya ketika memegang jawatan.

Mahathir dalam samannya, mendakwa kenyataan Anwar dibuat atas kapasitinya sebagai perdana menteri, oleh itu ia mempunyai kesan lebih teruk terhadapnya berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa, lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here