Polis buru Ah Long upah RM1,500 bakar rumah peminjam

0
138

POLIS kini giat mengesan rangkaian sindiket Ah Long yang mengupah individu untuk membakar dan membaling cat ke rumah peminjam mereka melalui tawaran kerja di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata ini susulan laporan diterima pihaknya pada 7 Julai lalu, di mana seorang mangsa memaklumkan rumah miliknya di Kota Samarahan telah dibakar selain menerima kiriman video insiden tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

“Selain itu, terdapat tiga lagi kejadian simbah cat di kedai perabot dan rumah mangsa. Susulan itu, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata susulan itu, tujuh suspek warga tempatan berjaya ditahan dan direman selama tujuh hari bermula 17 Julai lalu.

“Hasil soal siasat mendapati mereka telah menerima tawaran melakukan kerja itu di media sosial dengan pembayaran upah sebanyak RM1,500,” katanya.

Azman berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Mustapha Ramli di talian 019-8145090. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here