Pendakwaan sekadar jadikan Sanusi wira, mangsa penganiayaan’

0
174

PENAHANAN dan pendakwaan ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dilihat memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) terutama sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Penganalisis politik, Prof Wong Chin Huat, berkata di mata penyokong Sanusi, beliau dilihat sebagai wira dengan populariti pemimpin itu terutama dalam kalangan penyokong PN dijangka terus melonjak.

Katanya, karakter Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu yang berani dan lantang bersuara turut menonjolkan lagi auranya untuk diterima dalam kalangan pengundi Melayu.

“Ucapan beliau sememangnya kesat dan tidak menghormati institusi Raja dan Kesultanan Selangor, malah permohonan maaf (dilakukannya) juga kurang jujur. Namun saya tak melihat keperluan untuk beliau ditahan pada awal pagi.

“Saya rasa tindakan ini akan ‘back fire’, beri kesan kepada perkembangan seterusnya (termasuk PRN akan datang). Ia mungkin akan membantu PN, beliau akan dilihat sebagai seorang pejuang syahid di mata penyokong beliau.

“Jadi mereka akan lihat beliau sebagai mangsa penganiayaan, bukan melemahkan PN tetapi menyebabkan lebih banyak sokongan diberikan (kepada PN),” katanya dalam satu wawancara bersama Astro Awani hari ini.

Pagi tadi, Muhammad Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang, bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Chin Huat berkata, pendakwaan ke atas Muhammad Sanusi mungkin sedikit sebanyak membuatkan PN lebih berhati-hati terutama ketika berkempen, namun persoalan yang lebih besar adalah kemungkinan pemimpin itu berjaya menawan hati pengundi atas pagar.

“Saya tak lihat pendakwaan ini akan melemahkan populariti Sanusi dalam kalangan penyokong tegarnya, persoalannya, apakah ini akan mengubah pandangan pengundi di medan tengah (atas pagar).

“Kita perlu lihat kemunculan populariti Sanusi ini dalam konteks seperti Donald Trump di Amerika Syarikat dan Rodrigo Duterte, bekas presiden Filipina. Beliau merupakan populis yang menggunakan kata kesat. Ini sebenarnya agak berbeza daripada ciri bangsa Melayu yang terkenal dengan sopan santun dan budi pekerti.

“Bagaimanapun, ciri yang beliau tonjolkan ini (lari daripada sifat orang Melayu), kita lihat agak popular dalam kalangan pengundi Melayu akar umbi, kerana mereka lihat ini sebagai satu bentuk keberanian dan ketelusan,” katanya.

Ditanya sama ada pendakwaan ke atas Muhammad Sanusi akan menyekat peluangnya bertanding pada PRN, Chin Huat berkata ia tidak langsung memberi kesan.

“Sudah tentu beliau boleh bertanding kerana ini hanya pendakwaan di peringkat permulaan dan bukan sabitan yang muktamad.

“Apa yang saya jangkakan, Sanusi akan menggunakan isu seperti penahanannya pada waktu lewat malam sebagai penganiayaan politik. Ini akan dijadikan modal politiknya… bukan di Kedah tetapi di luar negeri itu.

“Sungguhpun begitu, kita masih ada empat minggu dari hari mengundi, banyak perkara boleh berlaku,” katanya yang turut memuji saranan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang meminta ahli PAS menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

Jelasnya, Takiyuddin memberikan mesej yang jelas kepada pengundi PAS dan PN supaya tidak mengambil tindakan melulu atau berlebihan susulan pendakwaan ke atas pemimpin parti itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here