Lelaki didakwa bunuh, kekasih tidak mengaku abai anak

0
131

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pada Selasa, atas pertuduhan membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun, pada awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak lelaki itu antara jam 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, pada 6 Julai lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Paya Emas, Cheng menurut Sinar Harian.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala Peguam Datuk Hanif Hassan mewakili tertuduh memberitahu pihaknya akan mengeluarkan satu surat permohonan kepada pihak pendakwaan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan mental.

Tambah Hanif, tertuduh memaklumkan dia telah dipukul termasuk ditampar oleh anggota polis ketika dalam tahanan.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan juga menasihati pihak pembelaan membuat laporan polis berhubung dakwaan pukul oleh anggota polis.

Dalam pada itu, ibu kandung kanak-kanak malang itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan melakukan pengabaian ke atas mangsa.

Nurasyiqin Syaqiqah A. Ramlee, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan, iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak sama telah didapati melakukan pengabaian terhadap mangsa.

Tertuduh didapati mendedahkan anak kandungnya itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi dengan membenarkannya dianiaya dengan menyerahkannya kepada Muhammad Firman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, tarikh, masa dan sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan, manakala Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu jaminan dibenarkan kerana tertuduh menanggung ibu yang tidak sihat bersama kakaknya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 23 Ogos sebagai sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here