Bersatu lapor polis terhadap bekas ADUN PKR walaupun sudah minta maaf

0
192

TINDAKAN tegas juga perlu diambil terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik Najwan Halimi susulan kenyataan berbau perkaumannya yang tular sebelum ini.

Sekumpulan pemimpin akar umbi Bersatu membuat laporan polis terhadap ADUN PKR tersebut walaupun sudah meminta maaf terhadap kenyataan menghina Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calonnya di DUN Meru Sivaranjani Manickam baru-baru ini.

Setiausaha Kerja Bersatu Titiwangsa, Thaqib Shaker berkata Najwan yang memohon maaf pada hari sama tidak harus terlepas daripada tindakan, sama seperti kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“(Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengatakan pada kes Sanusi, mohon maaf tak selesaikan tindakan undang-undang dan polis bebas siasat Sanusi.

“Jadi saya nak cakap mohon maaf tak selesai kesalahan, mohon polis bebas siasat Najwan,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Najwan di IPD Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Thaqib dalam laporan polis terhadap Najwan berkata apa sahaja yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak boleh dijadikan bahan gurauan sama sekali.

“Kenyataan itu boleh menyebabkan tercetusnya perbalahan antara kaum sekaligus menggugat ketenteraman awam,” katanya lapor AgendaDaily.

Menurutnya lagi, laporan itu dibuat sebagai solidariti terhadap PSM serta menunjukkan kebencian mereka pada perkauman.

Jumaat lalu, Najwan tidak lama selepas didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap PSM memohon maaf melalui setiausaha agung parti itu A Sivarajan.

Najwan mengakui kenyataannya tidak wajar dan mengundang salah faham.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here