Zahid ingatkan Mahfuz jangan dahului hukum Allah

0
166

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah tidak bersetuju dengan ramalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah bahawa mereka sudah memiliki 16 kerusi boleh menang di Kedah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendahului hukum Allah sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijadualkan 12 Ogos ini.

“Saya fikir sebelum kita berusaha sehingga ke saat akhir pada hari mengundi kita jangan bersifat mendahului hukum Allah. Walaupun saya tidak ada perbedaan pendapat dengan beliau atau mana-mana pemimpin tetapi eloklah kita bekerja keras dahulu. Baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya di enam negeri ini terutamanya di kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera BN dan UMNO Kedah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok di Sungai Petani.

Sebelum ini, Mahfuz berulang kali menyatakan gabungan PH dan BN di Kedah hanya memerlukan tiga lagi kerusi untuk membentuk kerajaan negeri baharu selepas PRN kelak.

Ini kerana menurutnya, mereka sudah memiliki 16 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja lagi bagi mengambil alih pentadbiran daripada Perikatan Nasional (PN).

“Secara realistik, kami sudah ada 16 kerusi dalam tangan dan kita perlu tiga saja lagi untuk ambil alih negeri dari PN. Walaupun Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pernah perli saya dengan mengatakan kami hanya berangan-angan, tetapi saya tak kisah,” kata Mahfuz.

Sementara itu, Ahmad Zahid kembali berterima kasih kepada Muhammad Sanusi yang menggesa beliau bertaubat nasuha sebanyak 48 kali dan meninggalkan dunia politik tanah air.

“Terima kasih atas nasihat itu tetapi nasihat itu harus digunakan oleh diri beliau sendiri kerana beliau telah mengakui kesilapan beliau dengan meminta maaf. Budaya memaki hamun, mencaci memfitnah selepas itu memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here