Mahkamah dengar cabaran sita akaun bank Bersatu pada 7 September

0
181

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 7 Sept untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Bersatu bagi mencabar penyitaan dua akaun bank parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah menetapkan tarikh pendengaran berkenaan semasa pengurusan kes pagi ini.

Peguam yang mewakili parti pembangkang itu, Chetan Jethwani mengesahkan keputusan pengurusan kes di hadapan penolong kanan pendaftar mahkamah, Lee Ka Full.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid akan mendengar permohonan berkenaan.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid

Sekiranya diberikan kebenaran, mahkamah kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar merit bagi permohonan semakan kehakiman tersebut.

Ahmad Kamal juga sebelum ini membenarkan parti pembangkang meneruskan cabaran undang-undang berasingan untuk membatalkan pembekuan akaun bank parti itu oleh SPRM.

Bersatu mengambil tindakan undang-undang berhubung tindakan SPRM membekukan serta merampas akaun bank parti itu di mahkamah sivil.

Mahkamah sivil juga mengarahkan pihak-pihak berkaitan menyediakan afidavit berhubung semakan kehakiman itu sehingga 7 Sept.

Pada 20 April lalu, SPRM merampas akaun Bersatu yang sebelum itu dibekukan.

Agensi antirasuah itu menjelaskan akaun tersebut disita pada 11 April selepas mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan The Edge bertajuk “Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days” (Bersatu minta penjelasan SPRM mengapa dua akaun masih dibekukan selepas 90 hari).

“Sebelum ini, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

“Susulan itu, SPRM telah melaksanakan tindakan sitaan tersebut pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md Yasin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” kata agensi itu.

Bersatu berkata perintah rampasan itu meragukan dan telah diundurkan pada 11 April sedangkan pengumuman oleh SPRM dibuat pada 20 April, justeru agensi itu didakwa enggan melaksanakan perintah rampasan sehingga hari ini.

Pada 20 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM232.5 juta.

Empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dibuat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, di mana Muhyiddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat tersebut ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit adalah Azman Yusoff.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram dinyatakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Amlatfpuaa 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Individu berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Tuduhan itu tidak mengatakan bahawa pembayaran dibuat kepada Muhyiddin, justeru ia merupakan sebab mengapa akaun bank peribadinya tidak pernah dibekukan.

Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke akaun Bersatu.

Menurut portal web rasmi Bank Negara Malaysia, pengubahan wang haram ialah proses menukar wang tunai, dana atau harta yang diperoleh daripada aktiviti jenayah untuk dilihat sebagai sah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here