Wan Saiful nafi pernah buat kenyataan pulangkan duit Jana Wibawa

0
152

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan mengeluarkan kenyataan untuk memulang wang Jana Wibawa seperti yang disebarkan dalam video TikTok.

Menurut beliau, video berdurasi 15 saat yang mendakwa dirinya mengaku untuk memulangkan duit Jana Wibawa menerusi ulasan video keratan akhbar itu adalah tidak benar dan didakwa berniat jahat.

“Saya tidak kenal pemilik TikTok berkenaan, laporan latar belakang video itu adalah seolah-olah laporan media menggunakan pula nama sebenar seorang wartawan yang benar-benar wujud.

“Jadi gambaran yang diberi ialah saya buat tawaran akan pulangkan balik wang didakwa saya ambil sebagai rasuah dengan syarat dakwaan terhadap saya mesti digugurkan oleh pendakwa raya,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Damansara pada Khamis.

Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, ini adalah satu fitnah dan penipuan berniat jahat dan bahayanya ialah dia menggunakan nama wartawan sebenar yang dikatakan menulis artikel tersebut.

“Saya telah menghubungi editor akhbar berkenaan dan saya maklumkan telah buat satu laporan polis berkenaan video ini,” katanya.

Wan Saiful turut kesal dengan penerbitan video seperti itu yang cuba membuat penipuan dan menerbitkan berita palsu.

Beliau juga sudah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang semalam.

“Video ini tersebar luas menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp, saya harap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan menerusi laporan yang telah dibuat.

“Peguam saya juga sudah mengeluarkan surat tuntutan kepada penama berkenaan dan kita sudah hantar surat berhubung video yang dimuat naik pada 3 Jun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung penularan video berkenaan.

Difahamkan sehingga kini video berkenaan mendapat 244,200 tontonan, 8,701 suka dan 1,474 komen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here