Lapan tahun lolos, buruh didakwa bunuh warga Myanmar

0
129

SELEPAS lapan tahun meloloskan diri daripada buruan polis, seorang bekas pekerja buruh binaan warga Myanmar akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu tuduhan membunuh seorang pekerja dobi dari Bangladesh, September 2015 lalu.

Ajib Kham, 37, yang memakai baju T berkolar hitam, mengangguk faham ketika pertuduhan dibaca dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian pemuda Bangladesh, Uzzal Ali, 28, di Jalan 2/2 Pandan Cahaya di sini pada jam 8.30 malam, 5 September 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 3 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Pada Rabu, media melaporkan lelaki itu ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang jam 12.30 tengah malam, 23 Jun lalu, bagi membantu siasatan kejadian tikam di lokasi kejadian.

Berdasarkan siasatan polis, mangsa iaitu seorang lelaki warga asing sedang bekerja sebelum didatangi suspek iaitu seorang lelaki yang dikenalinya.

Semasa kejadian, polis berkata, berlaku perselisihan faham sehingga menjurus kepada pergelutan antara mangsa dan suspek.

Mangsa yang ditikam itu kemudiannya dihantar ke Hospital Ampang, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here