Wanita warga Thailand terlepas tali gantung edar dadah

0
95

SEORANG wanita warga Thailand terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membebas dan melepaskannya selepas mengetepikan sabitan terhadap tuduhan mengedar 86.8 gram (g) dadah jenis Methapethamine, empat tahun lepas.

Hakim Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh Miss Rusneeda Beraheng, 41 tahun.

Miss Rusneeda didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kubang Juluk, Rantau Panjang, Pasir Mas pada pukul 9 pagi, 4 Sept 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Roslan berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen kedua iaitu milikan, jagaan dan kawalan serta pengetahuan tertuduh terhadap dadah yang dijumpai dibawa kerusi kereta jenis Proton Pesona.

“Elemen ketiga iaitu pengedaran dadah pula secara automatik gagal kerana elemen kedua tidak berjaya dibuktikan. Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Oleh itu, tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Beliau berkata pihak pendakwaan telah mengemukakan seramai lapan saksi terdiri daripada pegawai penyiasat, pegawai polis dan ahli kimia sepanjang perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar dan tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here