Rogol pelajar madrasah: Pelajar kolej dikenakan bon berkelakuan baik

0
150

MAHKAMAH Sesyen Melaka hari ini melepaskan seorang pelajar kolej dengan bon berkelakukan baik selama dua tahun selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar madrasah.

Hakim Darmafikri Abu Adam memerintahkan tertuduh, Ahmad Rasyid Ruslan,19, menjalani khidmat masyarakat bagi tempoh 240 jam dalam masa dua tahun dan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin untuk tiga tahun.

Sinar Harian melaporkan, berdasarkan pertuduhan pertama, dia didapati merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 20 hari di bilik hotel di Jalan Plaza Mahkota, Melaka, pada pukul 1.30 petang, 12 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama pada waktu, lokasi dan tarikh sama dibawah kesalahan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang mana sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan juga sebat.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa telah meminta tolong tertuduh untuk mendaftarkannya masuk sebuah hotel memandangkan mangsa masih di bawah umur.

Mangsa ke hotel berkenaan kerana dipercayai tidak mahu meneruskan pengajian di sebuah madrasah sebelum mangsa dibawa pulang ke rumah oleh kakaknya.

Bapa mangsa kemudian membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah dan hasil soal siasat polis mangsa mengaku telah melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

Tertuduh diwakili Peguam Zulkifli Awang merayu hukuman diringankan dengan alasan tertuduh telah insaf dengan kesalahan pertama yang dilakukan dan mahu meneruskan pengajiannya selain membantu menjaga dua adik yang merupakan orang kurang upaya (OKU) terlantar sakit.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan hukuman berat mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan seksual merupakan jenayah yang serius.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here