Saya di luar negara, Ahmad Fadhli jawab Guan Eng

0
166

KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan kini berada di luar negara dan tidak dapat menyahut cabaran Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mahu beliau sendiri membuat laporan polis terhadapnya.

Fadhli berkata, bukan setakatnya, malah ramai tidak berpuas hati dengan kenyataan Lim yang didakwa membuat kenyataan berkait pemusnahan ‘tokong’ dan penafian hak agama di Pulau Pinang.

“Yang Berhormat Bagan yang saya hormati, laporan polis ini tak kisah siapa yang buat, polis tetap siasat. Tak ada beza saya atau sesiapa yang buat laporan. Ini kerajaan Madani, semua laporan akan disiasat, soal ambil tindakan dakwa atau tidak, wallahualam.

“Lagi pun saya di luar negara sekarang dan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu bukan saya seorang, biarlah polis siasat,” katanya dalam Facebook, lapor FMT.

Difahamkan, Fadhli kini sedang menghadiri perjumpaan Pemuda Islam sedunia di Ankara, Turki.

Fadhli mengulas cabaran Lim supaya beliau sendiri membuat laporan terhadap pengerusi DAP selepas sayap gabungan itu dikerah membuat laporan polis berkait ucapannya baru-baru ini.

Lim berkata, Fadhli tidak patut membiarkan ‘anak-anak buahnya’ menghadapi kemungkinan melakukan jenayah dengan membuat laporan polis palsu.

Semalam, Lim menolak dakwaan beliau menyentuh isu berkait 3R atau religion (agama), royalty (raja), dan race (kaum) dalam ucapannya pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang, kelmarin sambil mendakwa ia diputar belit pihak media.

Terbaharu, Bukit Aman memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap Lim berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu berkait 3R.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here