Retak dalam gabungan kerajaan makin ketara, kata anak bekas Presiden MIC

0
163

KEPUTUSAN MCA dan MIC untuk tidak menyertai pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini secara tidak langsung mendedahkan keretakan dalam gabungan kerajaan.

Sunther, anak kepada bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang membuat dakwaan tersebut berkata, keputusan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan bantuan MCA dan MIC untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu.

Beliau percaya DAP yakin dapat menarik undi Cina tanpa sokongan MCA, seperti yang ditunjukkan menerusi corak pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

“Begitu juga PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP, yang tidak memerlukan sokongan MIC untuk menarik pengundi India. Mungkin ini juga boleh menjadi suatu pernyataan bahawa undi India tidak penting di enam negeri (yang mengadakan PRN). PH hanya sangat memerlukan UMNO untuk memperoleh undi Melayu.

“Walau apa pun, keretakan yang nyata dilihat dalam kerajaan perpaduan berikutan keputusan MCA dan MIC (untuk tidak bertanding pada PRN). Mereka harus segera baiki keretakan itu jika mahu kekal teguh,” katanya memetik laporan FMT.

MCA hanya memperoleh 665,436 (4.29%) daripada 15.5 juta undi pada PRU15 November lepas, manakala MIC memperoleh 172,176 undi (1.11%).

Kedua-dua parti itu mengumumkan minggu lepas bahawa mereka tidak akan bertanding pada PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditetapkan pada 12 Ogos.

Mereka berkata, mereka mahu menumpukan usaha dan sumber untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi PRU akan datang, yang dijangka diadakan menjelang 2027.

Sunther, yang meninggalkan MIC pada 2018 dan menyertai Warisan tahun lepas berkata, tiada komponen mana-mana gabungan patut dilayan dengan teruk, termasuk MCA dan MIC.

“Mana-mana pihak yang dilayan dengan teruk mestilah akan mempertimbangkan untuk meninggalkan gabungan. Kerajaan perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti ambil tahu perkara ini,” katanya.

Walaupun MCA tegas enggan menyertai Perikatan Nasional (PN), Sunther menegaskan bahawa MIC masih belum menjawab pelawaan oleh Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Nor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here