BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau sudah mula menternak ayam penelur di kebunnya bagi kegunaan sendiri sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan masalah bekalan telur di pasaran.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kajian empirikal yang dilakukan sekumpulan penyelidik ke atas 1,200 responden mendapati, masalah yang paling ketara dihadapi rakyat ketika ini adalah kos sara hidup.
“Apabila ditanya kepada orang ramai, jawapan yang paling jelas adalah masalah kos sara hidup, harga makanan yang tidak berhenti-henti, bekalan makanan tak cukup, sampai telur pun tak cukup.
“Saya sudah mula pelihara ayam telur di kebun saya, satu hari 40 biji telur. Saya nak tunjuk boleh selesai masalah kalau kita usahakan sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kepemimpinan tertinggi PN yang lain.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU bagaimanapun mengakui bukan semua berkemampuan atau mempunyai kawasan yang boleh menternak 30 hingga 40 ekor ayam pada satu-satu masa.
Katanya, ketika beliau membuat tinjauan di beberapa gerai di sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini, ramai peniaga dan orang ramai merungut mengenai kenaikan harga barang.
“Saya tanya (harga barang) bagaimana..mereka kata semuanya naik, saya tanya lagi apa yang turun, dia kata hujan yang turun.
“Harga ayam berapa? RM10 lebih sekilogram, zaman saya jadi menteri dulu RM6.40. Dia cakap itu zaman Tan Sri dulu, ada naik (tetapi) naik sekarang RM10 sekilo,” katanya lapor BH.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.