Oleh WARTAWAN SATU BERITA
POLIS Pulau Pinang sedang mengesan suspek lelaki dipercayai warga tempatan yang disyaki menyeksa seekor anjing menggunakan kayu sehingga mati di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, terdahulu artikel serta video tular berkenaan kejadian itu yang memaparkan dua lelaki sedang menyerang sesuatu (anjing) menggunakan kayu di kawasan semak tular di dalam media sosial.
Jelasnya, seorang pengadu turut membuat laporan polis dan siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, kira-kira pukul 8.38 malam kelmarin.
”Menurut saksi kejadian, dia melihat dua suspek lelaki tempatan yang tidak dikenali disyaki tinggal berdekatan tempat kejadian sedang menyerang seekor anjing yang terjatuh ke dalam longkang di tepi jalan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Video yang tular di media sosial Twitter itu memaparkan dua lelaki terbabit bertindak memukul anjing tersebut menggunakan batang kayu.
Menerusi laporan media sosial tersebut, difahamkan anjing itu dilanggar motosikal berkenaan ketika melalui jalan di kawasan tersebut yang agak gelap dan suram.
Menurut Kamarul Rizal, saksi kejadian turut bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit miliknya dan menghantar rakaman itu kepada rakannya yang tinggal di Petaling Jaya sebelum ditularkan melalui akaun Twitter.
”Usaha untuk mengesan suspek terlibat masih diteruskan dan polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.
Tambah beliau, polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mendera atau memukul binatang tanpa alasan munasabah.
”Pihak polis juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan lagi video berkenaan,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.