Kenyataan Guan Eng provokasi  melampau, hasutan kebencian luar biasa – Takiyudin

0
152

Pas malam ini mengecam keras kenyataan Lim Guan Eng yang mengaitkan parti itu dan gabungan politik yang dianggotainya dengan insiden sejarah pencerobohan tentera Mongol ke atas negara China.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, Pas amat terkejut dan mengecam keras provokasi melampau dan hasutan kebencian luar brasa dibuat Pengerusi DAP tersebut.

Berikut kenyataan penuh beliau:

PAS merakamkan rasa amat terkejut dan mengecam keras provokasi melampau dan hasutan kebencian luar biasa yang dibuat oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng ketika menghadiri satu acara di sebuah tokong di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.

Setelah bertahun-tahun cuba memburukkan Pas dengan mengaitkannya dengan kumpulan Taliban di Afghanistan dan ideologi keganasan serta ekstremisme tanpa apa-apa kejayaan, kali ini beliau melangkah lebih jauh lagi dengan mengaitkan Pas dan gabungan politik yang dianggotainya dengan insiden sejarah pencerobohan tentera Mongol ke atas negara China pula.

Mengulangi terma jijik “gelombang hijau” yang dimulakan bapanya Lim Kit Siang ekoran keputusan PRU15 yang memihak kepada Pas dan gabungan politiknya, Perikatan Nasional (PN), bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilaporkan berkata bahawa “akan berlaku kemusnahan ke atas tokong-tokong Buddha dan pengharaman terhadap cara hidup orang bukan Islam di Pulau Pinang jika ia (gelombang hijau) tiba di negeri itu”.

Menurut akhbar China Press, Lim seterusnya dilaporkan berkata bahawa “jika gelombang hijau tidak menyukai tokong yang mereka lihat, maka mereka akan memusnahkannya”.

Kenyataan ini jelas merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan bulan depan di enam buah negeri di Semenanjung, termasuk Pulau Pinang dan Lim berkempen untuk memastikan pentadbiran negeri itu kekal di tangan Pakatan Harapan (PH).

Pas percaya rakyat Malaysia yang berfikiran waras, peka sejarah dan berpijak di bumi nyata tidak sesekali akan tergamak untuk membuat kenyataan yang sedangkal dan seburuk ini dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian dan jahat sangka terhadap mana-mana orang atau pihak lain.

Malangnya bekas Menteri Kerajaan PH itu berasa layak dan berhak untuk bertindak melampau seperti itu tanpa sebarang bukti yang sah dan konkrit, selain tidak mengambil kira akan kesannya ke atas pemikiran rakyat dan kesejahteraan hidup bersama yang sudah terjalin baik sejak sekian lama.

Barangkali Lim perlu menyenaraikan tokong-tokong dan tempat ibadat orang bukan Islam yang telah dimusnahkan oleh orang Islam di Malaysia ini, khasnya di negeri-negeri yang dipimpin oleh parti-parti yang dikaitkan dengan “gelombang hijau” yang dimaksudkannya itu.

Pas  percaya ucapan menghasut dan tidak bertanggungjawab seperti inilah yang akan mengeruhkan, malah memburukkan hubungan kaum dan agama dalam masyarakat. Malah tidak keterlaluan untuk diperingatkan bahawa ucapan dan sentimen penuh kebencian dan sangka jahat seperti inilah yang menyumbang kepada Tragedi 13 Mei lebih 50 tahun lepas.

Juga tidak keterlaluan untuk diperingatkan bahawa tragedi malang itu sangat berkait dengan kehadiran DAP sebagai sebuah parti politik di negara ini. Ucapan dan sikap kebencian seburuk ini hanya lahir daripada individu dan pihak-pihak yang terdesak, tandus idea, bankrap moral dan tidak bertanggungjawab sama sekali dan mesti ditolak sepenuhnya.

Justeru Pas menggesa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan hidup bersama supaya menolak jauh individu, kumpulan, parti atau mana-mana orang yang mendukung dan memanjangkan idea dan sentimen sedemikian kerana kesan buruknya yang sudah boleh dijangka.

Dalam pada itu, Pas  menggesa pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Menterinya supaya bertindak tegas dan proaktif terhadap pihak- pihak terbabit yang dengan sengaja menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam masyarakat baik di pihak pembangkang, orang awam maupun kerajaan atas asas komitmen kita kepada keamanan serta kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here