Jika sama rata kaum lain dengan orang Melayu, kenyataan Tun Mahathir ada kebenaran – Pakar Perlembagaan

0
188

USAHA menyamaratakan kemajmukan rakyat negara ini dengan kaum Melayu dan unsur kemelayuan yang menjadi teras identiti bangsa Malaysia, sememangnya bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, kebimbangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai usaha promosi negara berbilang kaum sehingga mengenepikan unsur kemelayuan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ada kebenaran.

Berita Harian melaporkan, Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata perlu difahami bahawa istilah orang Melayu mengikut Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, berbeza dengan bangsa Melayu kerana Perjanjian Persekutuan Melayu 1948 memperluaskan takrifan bangsa Melayu apabila menerima kemasukan kaum bukan bangsa asal Tanah Melayu sebagai warga negara Persekutuan.

Namun, Perlembagaan memelihara jati diri bangsa asal yang beridentiti unsur kemelayuan dalam peruntukan Perlembagaan.

Justeru, katanya warga negara Malaysia adalah bangsa Melayu yang terdiri pelbagai kumpulan etnik, iaitu orang Melayu dan orang bukan Melayu, pelbagai anutan agama yang menghormati kedudukan agama Islam dan pendokong jati diri watan di Semenanjung Tanah Melayu, dan Borneo.

“Dengan itu, kebebasan beragama tidak bersifat paksaan kepada penganutan agama Islam, kedudukan Bahasa Kebangsaan tidak menafikan penggunaan bahasa lain dalam urusan bukan rasmi, sebaliknya jati diri watan Tanah Melayu prasyarat seorang warga negara, malah sehingga kini masih terpelihara dan menjadi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Prinsip Keluhuran Perlembagaan meletakkan jati diri watan Tanah Melayu di tempat tinggi dan tidak boleh dilihat sebagai diskriminasi kepada mana-mana pihak,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyatakan usaha mempromosi negara berbilang bangsa sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah sebut Malaysia sebagai negara berbilang kaum, sebaliknya menekankan kemelayuan Malaysia.

Ahmad Fauzi berkata, perlu difahami bahawa suatu bangsa itu tidak terikat pada darah keturunan, perbezaan etnik atau ras sebaliknya bangsa dan ke’bangsa’an itu adalah kewarganegaraan atau kerakyatan.

“Pada satu sisi lain, Malaysia berakar pada ‘Malay’ iaitu Melayu, dan Malaysia dirujuk sebagai gugusan kepulauan Melayu atau Tanah Melayu dalam wilayah Alam Melayu.

“Sering dibangkitkan bahawa warga negara kita terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan lain-lain bangsa. Untuk menyatakan bangsa Melayu itu warga negara Malaysia jawabnya tidak salah kerana bangsa Melayu ialah warga negara Persekutuan Tanah Melayu yang bersekutu dengan Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak untuk membentuk ‘supra-nation’ Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan, satu perkara yang tidak boleh diabaikan adalah taat setia setiap warganegara kepada elemen watan Tanah Melayu sebagai kewajipan kewarganegaraan.

Katanya, perkara itu membabitkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, institusi Raja Melayu, bahasa Melayu termasuklah tulisan Jawi, adat resam Melayu, serta kedudukan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan orang Asli sebagai bangsa asal.

“Kedudukan elemen watan tidak patut dipertikai kerana itulah syarat perlu dipenuhi sebelum seseorang itu diterima sebagai warga negara.

“Dari sudut ini, penerimaan kaum pendatang atau bangsa asing sebagai bangsa Melayu (warga negara Persekutuan Tanah Melayu) perlu disertai kefahaman bahawa mereka hendaklah mentaati prinsip Keluhuran Perlembagaan.

“Ini termasuk mengasimilasi atau sekurang-kurangnya mengakomodasi jati diri watan Tanah Melayu dan seorang warga negara Malaysia tidak mungkin boleh mengekalkan kebangsaan lain, sama ada China, India, Arab atau Eropah, namun pengenalan etnik boleh dikekalkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here