‘Swing besar’ atau liabiliti besar kerajaan PH-BN

0
233

Oleh DATUK MARZUKI MOHAMAD

DATUK Seri Anwar Ibrahim membuat ramalan bahawa gabungan PH-BN bakal merampas dua negeri pembangkang dalam PRN akan datang. Negeri-negeri pembangkang ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu. Yang mana dua itu tidak dinyatakan.

Biasanya dalam membuat ramalan keputusan pilihanraya kita lihat baseline undi bagi setiap parti, iaitu jumlah undi yang diperolehi oleh PN, BN dan PH dalam pilihanraya yang terdekat, iaitu PRU 15 pada bulan November 2022. Cuma oleh kerana PH dan BN sudah bergabung, ada dua situasi yang bakal terjadi.

Pertama, situasi di mana berlaku pemindahan undi secara penuh (full vote transferability) antara PH dan BN, iaitu 100% pengundi BN dalam PRU 15 akan mengundi calon-calon PH dan begitulah juga sebaliknya 100% pengundi PH akan mengundi calon PN. Dalam situasi ini baseline PH-BN ialah jumlah undi PH campur jumlah undi BN yang diperolehi dalam PRU 15.

Kedua, tidak berlaku full-vote transferability antara PH dan BN, iaitu pengundi BN tidak semestinya mengundi calon PH dan begitulah juga sebaliknya. Dalam situasi ini baseline gabungan PH-BN agak sukar untuk diramal melainkan ada kajian khusus mengenai vote transferability di ketiga-tiga negeri ini. Yang pasti, jika inilah keadaannya, baseline gabungan PH-BN akan menjadi lebih rendah daripada jumlah keseluruhan undi yang diperolehi oleh kedua-dua parti tersebut.

Saya tidak membuat kajian di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Jadi, saya tidak boleh membuat apa-apa kesimpulan mengenainya. Namun, sekadar untuk rujukan, kajian saya di Selangor dan Negeri Sembilan menunjukkan tidak berlaku full vote transferability antara PH dan BN.

Untuk tujuan penulisan ini, saya andaikan berlaku full-vote transferability antara PH dan BN supaya mudah kita buat kiraan.

Vote transferability tidak menjadi isu bagi PN kerana PN tidak membentuk gabungan dengan mana-mana parti politik lain. Jadi kita terima jumlah undi PN dalam PRU 15 sebgai baseline undi parti itu.

Jadi, mari kita lihat apa baseline undi parti-parti ini.

Di Kedah, jumlah undi yang diperolehi PN dalam PRU 15 ialah 664,720 (56%). Manakala undi yang diterima BN ialah 235,353 (20%) dan PH 281,523 (24%). Jumlah undi PH campur BN ialah 516, 876, iaitu kurang 147, 844 undi berbanding jumlah undi yang diterima PN. Ini bermakna, jika berlaku full vote transferability pun, gabungan PH-BN masih belum dapat tawan Kedah.

Untuk tawan Kedah, tanpa mengira peratusan keluar mengundi dan pertambahan pengundi baharu, gabungan PH-BN perlu memastikan berlaku swing lebih kurang 75,000 pengundi PN yang beralih menyokong PH-BN, di samping memujuk 100% pengundi BN supaya mengundi PH dan 100% pengundi PH mengundi BN.

Dalam PRK Padang Serai baru-baru ini, hal ini tidak berlaku. Yang terjadi ialah pengundi-pengundi BN mengundi calon PN menyebabkan PN menang kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti besar 16,260 undi menewaskan calon PH. Untuk rekod, Padang Serai adalah antara kubu kuat PH.

Di Kelantan, jumlah undi yang diterima PN ialah 631,201 (64%), BN 265,666 (27%) dan PH 87,293 (9%). Di Terengganu pula, jumlah undi yang diterima PN ialah 461,509 (62%), BN 234,392 (32%) dan PH 40,645 (5%).

Tuan-tuan boleh kira sendiri jumlah undi gabungan PH-BN dan berapa jumlah ‘swing vote’ yang diperlukan untuk mereka tawan Kelantan dan Terengganu.

Soalnya, jika berlaku sekalipun full-vote transferability antara PH dan BN (yang saya sangsi), adakah akan berlaku swing pengundi PN kepada PH-BN?

Yang kita dengar ialah ramai orang UMNO tidak puas hati dengan kepimpinan parti mereka sendiri membentuk kerjasama dengan PH yang di dalamnya ada DAP. Kemungkinan berlaku undi protes dalam kalangan penyokong UMNO dalam PRN nanti tidak boleh ditolak.

Selain itu, tidak ada apa-apa ‘feel good factor’ yang boleh menjadi sebab swing pengundi PN kepada PH. Masalah kenaikan harga barang dan inflasi, kenaikan tarif elektrik, kenaikan OPR, kejatuhan nilai ringgit dan lain-lain yang berkaitan dengan ekonomi dan kos sara hidup rakyat masih tidak dapat ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PH-BN.

Rakyat masih belum nampak perancangan jelas kerajaan PH-BN untuk mengatasi masalah ekonomi yang membelenggu rakyat dan negara pada masa ini. Ini liability paling besar PH-BN.

Justeru, apa pun yang diramal oleh Perdana Menteri, saya sangsi ada swing besar pengundi PN kepada PH-BN yang membolehkan gabungan parti itu menawan Kedah, Kelantan atau Terengganu dalam PRN nanti.

Penulis adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here