Permohonan Rosmah untuk tangguh rayuan kes rasuah pada 7 Julai

0
125

MAHKAMAH Rayuan menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor menangguhkan pendengaran rayuannya pada pertengahan Julai bagi membatalkan sabitan rasuah serta hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya.

Peguam Akberdin Abdul Kader, yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara, pagi tadi mengesahkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 7 Julai tersebut.

Peguam itu menambah bahawa pasukan pembelaan Rosmah serta pihak pendakwaan telah bertukar dokumen untuk perbicaraan. Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak pendakwaan berhubung perkara itu.

Rayuan rasuah Rosmah melibatkan projek tenaga hibrid solar RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di Sarawak, pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Rayuan (bidang kuasa jenayah) pada 11 Julai.

Bagaimanapun, bulan lalu, Rosmah dilaporkan berusaha untuk menangguhkan perbicaraan rayuan utama kes rasuah solarnya pada Julai, sementara menunggu penyelesaian satu lagi rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Rayuan di mahkamah tertinggi itu adalah berhubung permohonannya untuk mendapatkan kelulusan bagi memulakan cabaran di mahkamah sivil untuk membatalkan keseluruhan kes rasuah terhadapnya.

Pada 1 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) Kuala Lumpur mendapati dirinya bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya.

Bagaimanapun, beliau memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Berhubung cabarannya di mahakamah sivil, Rosmah berhujah bahawa kes rasuah solar terhadapnya adalah terbatal dari awal kerana pelantikan tidak sah bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here