RM114 juta milik UMNO, bukan sebahagian aset saya, kata Najib

0
129

BEKAS Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan RM114 juta yang sebelum ini diarah dikembalikan oleh mahkamah adalah milik UMNO dan bukan sebahagian daripada asetnya.

Dalam afidavitnya sebagai jawapan kepada tuntutan mahkamah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya, bekas perdana menteri itu menjelaskan bahawa ini adalah sebab mengapa pendedahan asetnya tidak mengandungi RM114 juta berkenaan.

Dua bulan lalu sebagai sebahagian daripada tindakan sivil terhadap Najib, 1MDB menuduh bekas menteri kewangan itu hanya membuat sebahagian pendedahan aset kerana gagal memasukkan RM114 juta berkenaan.

Pengerusi 1MDB, Johan Mahmood dalam afidavit mendakwa Najib mengisytiharkan RM1,010,258.62 dalam akaun banknya yang tidak termasuk wang tunai RM114 juta yang diarah dikembalikan oleh mahkamah pada 2021.

Pada 2021, mahkamah berasingan di Kuala Lumpur menafikan tindakan kerajaan yang berkaitan dengan 1MDB dilucuthakkan terhadap RM114 juta itu, dengan wang itu dikembalikan kepada Najib dan UMNO.

“Saya dengan sesungguhnya menyatakan bahawa RM 114 juta yang dilaporkan dikembalikan kepada saya tidak menjadi sebahagian daripada aset saya kerana pada setiap masa, jumlah RM114 juta itu dipegang secara amanah oleh saya bagi pihak UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang baru terusai beberapa hari sebelum serbuan di apartmen saya.

“Sebagai Presiden UMNO, saya telah diamanahkan dengan dana tersebut untuk tujuan pilihan raya, tetapi wang tersebut tidak menjadi milik saya.

“Oleh itu, segala ketidakzahiran seperti yang didakwa dinafikan sekeras-kerasnya,” kata Najib dalam afidavit yang difailkan pada Rabu minggu lalu, yang disahkan oleh peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee, lapor Malaysiakini.

Sebagai tindak balas kepada afidavit Johan sebelum ini mengenai dakwaan percanggahan antara pendedahan aset Najib dalam saman 1MDB berbanding tindakan sivil berasingan terhadapnya oleh SRC International (bekas anak syarikat 1MDB), Najib mendakwa bahawa ini adalah kerana pendedahan aset SRC telah dilakukan tahun lepas apabila peguamnya tidak mempunyai semua maklumat kewangan yang diperlukan sebelum tarikh akhir pemfailan.

Najib menjelaskan sejurus sebelum pendedahan asetnya untuk tuntutan 1MDB ketika ini, peguamnya telah mendapatkan maklumat lanjut dan lengkap mengenai akaun bank Affin dan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhujah ini menunjukkan bahawa tidak ada usaha untuk menyembunyikan asetnya daripada 1MDB.

Tahun lepas berhubung saman berasingan oleh SRC, Najib membuat pemfailan mahkamah mengenai asetnya berjumlah RM4.49 juta.

Berhubung saman ketika ini, 1MDB dan empat anak syarikatnya menyaman Najib dan beberapa defendan lain sebanyak RM23 bilion.

Empat anak syarikat dana itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited yang berpangkalan di British Virgin Islands (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Secara keseluruhan, 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International melancarkan 22 saman sivil pada 2021, menyasarkan mereka yang dikatakan menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini telah menetapkan 14 Julai untuk mendengar permohonan Najib untuk membatalkan injunksi Mareva yang cuba menghalangnya daripada melupuskan aset AS$681 juta, sementara menunggu pelupusan tindakan sivil 1MDB.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here