Segerakan pendakwaan terhadap Sivakumar, pegawai

0
240

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk mendedahkan hasil siasatan skandal rasuah terhadap Menteri Sumber Manusia (KSM), V Sivakumar dan lima bekas pegawainya.

Ahli Jawatankuasa Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), K Vasantha berkata, sekiranya SPRM mempunyai bukti kukuh, pendakwaan di mahkamah perlu disegerakan.

“Saya yakin SPRM telah melengkapkan siasatan dan boleh meneruskan proses undang-undang seterusnya tanpa mengambil masa yang lama,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan ibu pejabat SPRM, di sini pada Isnin.

Menurutnya, rakyat kini memerhati integriti dan komitmen SPRM dalam membasmi rasuah tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang ada dalam Kerajaan Madani ataupun pengaruh luar.

“Sudah hampir 90 hari siasatan tetapi kita belum tahu apa hasil,” ujar beliau.

Vasantha berkata, kelewatan pendakwaan Sivakumar di mahkamah akan menimbulkan ketidakyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu.

“Kita nampak kalau kes Jana Wibawa laju sahaja membuat pendakwaan tetapi mengapa Tan Sri Azam Baki tidak membuat pendakwaan ke atas kes Sivakumar ini,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan terus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberi pandangan berhubung Jana Wibawa melibatkan pembangkang adalah terlalu lantang.

“Sebaliknya kes rasuah melibatkan prokerajaan khususnya ahli kabinet memberi gambaran pendakwaan terpilih,” katanya lapor Sinar Harian.

Sebelum ini SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar susulan siasatan suruhanjaya itu membabitkan isu rasuah dalam sebuah agensi pengambilan pekerja asing pada April lalu.

Susulan penahanan pegawainya ketika itu, Sivakumar dilaporkan menggantung tugas tiga pegawai kanannya termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.

PTTK itu dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pekerja asing.

Beberapa hari kemudian, media melaporkan SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar.

Sepanjang proses siasatan, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah hadir dua kali ke SPRM bagi memberi keterangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here