Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

0
166

KELUARGA mangsa terkejut dan masih tidak percaya tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, hari ini yang menyebabkan 10 individu lemas.

“Saya masih terkejut dan tak percaya dengan kejadian yang berlaku ini,” kata Syawalluddin Eiyi, 29, sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarga kakaknya, Allahyarham Azizah Eiyi, 40, mangsa tragedi tersebut.

Syawalluddin Eiyi bagaimanapun berharap ahli keluarganya yang masih hilang dalam kejadian terbabit ditemui selamat.

Dia memberitahu, mengetahui kejadian tersebut setelah tular dalam media sosial selain usaha pihak polis mengesan keluarga mangsa.

“Saya diberitahu polis datang ke rumah ibu dan ayah saya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan untuk mengesan ahli keluarga.

“Kebetulan juga saya ternampak berita tular di Facebook berserta nombor plat kereta yang dinaiki kakak saya sekeluarga,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurut Syawalluddin, tujuh anak saudaranya termasuk paling kecil berusia lima tahun turut terlibat dalam tragedi itu.

“Kakak saya bersama suami pergi bermalam untuk berkelah ke situ bersama anak dan seorang lagi bakal menantu keluarga kami,” ujarnya.

Syawalluddin yang kini berada di Melaka berkata, kali terakhir dia bertemu kakak dan abang iparnya pada Jumaat lalu.

“Sebelum ini mereka memang pernah bermalam di kawasan itu memandangkan abang ipar saya bekerja di sana (Terengganu).

“Tak sangka pula kali ini tragedi tak diingini berlaku kepada mereka sekeluarga. Saya berharap sangat dan berdoa agar masih ada yang terselamat,” luahnya.

Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat kini giat dijalankan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.

Terdahulu, penduduk di Kampung Laut, Pasir Gajah, di Kemaman dikejutkan dengan penemuan mayat yang hanyut di sungai di kampung berkenaan.

Setakat ini lapan lagi mangsa dikhuatiri masih hilang dalam tragedi kepala air di Kampung Air Putih, di daerah berkenaan hari ini.

Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki dan wanita ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Mawar, Kampung Air Putih, di Kuala Terengganu hari ini, sementara lapan lagi dikhuatiri masih hilang.

Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintenden Ahmad Syukri Yusoff berkata, dua korban pertama telah ditemukan masing-masing pada pukul 12.45 tengah hari tadi.

Kedua-duanya dikenal pasti sebagai Azizah dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here