Anwar dakwa terima ugutan daripada ‘geng-geng kaya’

0
178

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim memberitahu kepada warga Permatang Pauh tentang ugutan yang beliau terima daripada ‘geng-geng kaya-raya’ ketika kerajaan berusaha ‘membersihkan’ negara.

Bertemu penduduk dalam majlis kenduri Aidiladha di Kampung Guar Perahu, Anwar berkata kelompok tertentu itu berpakat ketika negara terbeban dengan hutang RM1.5 trilion dan rakyat kesusahan.

“Keadaan susah jadi kita patut bersihkan negara ini daripada kerja rasuah dan penyelewengan. Macam-macam ugutan saya terima. Geng-geng kaya-raya ini dah berpakat,” katanya kepada ratusan hadirin di luar sebuah masjid di Guar Perahu, lapor FMT.

Anwar turut membidas kelompok yang cuba memainkan sentimen Melayu dan sebagainya ketika ‘pembersihan’ itu. “Geng penyakau bilion-bilion pakat sekarang ini, nak buat ‘hidup Melayu’ dan sebagainya – hang buat tak (penyelewengan)?”

“Saya lawan tetap lawan,” katanya, sambil menepis dakwaan beliau mengayakan keluarganya atau berdendam. Satu kepentingan keluarga saya tak pertahankan. Tidak ada sama sekali,” katanya.

Anwar mewakili rakyat Parlimen Permatang Pauh dari 1986 hingga 1999, dan kemudian 2008 hingga 2015.

Beliau kini Ahli Parlimen Tambun. Rakyat Permatang Pauh sekarang diwakili oleh Ahli Parlimen dari Pas.

“Saya nak perbaharui silaturahim dan jumpa kawan-kawan lama. Saya tak pernah lupa jasa dan pengorbanan rakan-rakan di Permatang Pauh,” katanya.

Anwar memberitahu warga Permatang Pauh bahawa usaha kerajaan meningkatkan Islam, melawan rasuah, dan membaiki tatakelola tidak pernah dibantah oleh mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan.

“Yang saya dok dengar (dakwaan terhadap parti-parti dalam kerajaan) ini di luar – orang buat macam-macam tuduhan dan tohmahan,” katanya.

Sementara itu BERNAMA melaporkan, dalam ucapan yang sama Anwar berkata, beliau bersedia memberi kerjasama termasuk disiasat mana-mana pihak berkuasa sekiranya beliau didapati terlibat dalam kes rasuah.

Anwar berkata selama tujuh bulan diberikan amanah untuk mentadbir negara, tiada satu kepentingan pun diberikan kepada keluarganya.

“Kalau kata saya terlibat kes rasuah, gunakan wang mengayakan Wan Azizah, Nurul Izzah dan anak-anak. Itu boleh bawa (lapor kepada pihak berkuasa),” katanya i.

Pada masa yang sama, Anwar juga mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak pernah berdendam dengan sesiapa serta mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah ketika ini.

“Sesiapa sahaja disiasat SPRM, itu kerja SPRM. Saya tidak arahkan kerana saya tidak mahu memfitnah. Saya sendiri melalui liku-liku hidup yang susah. Jadi apabila ada kuasa, takkan saya nak buat kerja sebegitu (politik dendam)…kalau lakukannya maknanya kita serupa sahaja (pimpinan dulu),” kata Anwar.

Perdana Menteri menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana menteri serta timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan mahupun bekas menteri sekiranya mereka terlibat dalam kes rasuah.

Menurutnya, dalam perkara itu semua badan penguat kuasa seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan berani dalam kes rasuah.

Anwar berkata komitmennya untuk membanteras amalan rasuah diterima baik dan tidak pernah dibantah oleh setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan, ini termasuk segala perancangan untuk setiap pembangunan di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here