Bakar Quran : Ahli Parlimen PN gesa kerajaan panggil Duta Sweden

0
168

KETUA Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin  mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstremis, biadab dan keji Salwan Momika yang membakar kitab suci al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden, semasa sambutan Hari Raya Aidiladha pada Rabu lalu.

Katanya, pada sama beliau saya dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional juga melahirkan rasa kecewa yang teramat sangat dengan sikap kerajaan Sweden yang membenarkan insiden tersebut berlaku walaupun sedar perbuatan Salwan Momika itu boleh mencetuskan perbalahan agama.

‘’Kejadian pada Rabu bukanlah kali pertama tetapi sudah berulang kali. Tindakan ekstremis serta biadab ini mesti ditolak dan dihentikan kerana ia jelas merangsangkan rasa kebencian, perkauman dan bertentangan dengan usaha-usaha antarabangsa,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

‘’Adalah malang apabila kerajaan Sweden sendiri tidak bertindak dengan sepatutnya dalam menyuburkan nilai-nilai toleransi, kesederhanaan dan penolakan terhadap ekstremisme apabila sekali lagi membenarkan insiden sedemikian berlaku di Sweden,’’ katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, sudah sampai masanya Malaysia menggunakan suara serta haknya dengan lantang dan segera memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras terhadap kejadian itu.

Dalam kejadian pada Rabu lalu itu, Momika, 37, berkata, dia tiba di Sweden lima tahun lalu dari Iraq dan memiliki kerakyatan negara itu.

Momika turut menganggap dirinya sebagai individu yang berpegang kepada hidup tanpa tuhan atau golongan ateis.

Katanya, tindakan yang dilakukannya itu sebagai menekankan kepentingan kebebasan bersuara.

“Ini adalah demokrasi. Ia dalam bahaya jika mereka memberitahu kita kita tidak boleh melakukan ini,” dakwa Momika.

Mengulas tindakan menghina kitab suci al-Quran itu, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson berkata, protes yang dilakukan Momika itu adalah “mengikut undang-undang tetapi tidak sesuai” dan terserah pada budi bicara polis untuk membenarkannya atau tidak.

Pihak berkuasa negara itu menegaskan, protes itu tidak menyebabkan “gangguan kepada ketertiban” tetapi Momika didakwa kerana dia memilih untuk membakar al-Quran berdekatan dengan masjid.

Momika juga sedang disiasat kerana melanggar larangan sementara untuk membakar bahan api.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, sebelum ini dilapor berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan pihak berkuasa Sweden yang membenarkan tindakan provokatif itu.

Beliau berkata, keputusan pihak berkuasa Sweden bukan satu langkah progresif dalam usaha untuk meningkatkan perasaan saling memahami dan menghormati untuk kebaikan manusia.

“Perbuatan yang mencemari kesucian al-Quran ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Aidiladha merupakan satu tindakan yang menyinggung perasaan Muslim di seluruh dunia dan mencabuli prinsip sejagat iaitu saling memahami dan menghormati kesemua agama dan kitab suci mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here