Selepas dikecam bertubi-tubi, sekatan ke atas MalaysiaNow ditarik balik

0
192

SEKATAN yang mengakibatkan portal berita MalaysiaNow tidak dapat diakses oleh sebahagian besar pengguna internet di negara ini kelihatannya berakhir petang ini, selepas kritikan bertubi-tubi ditujukan terhadap kerajaan dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang tidak mengaku bertanggungjawab. 

Semakan pengendali portal Malaysianow menunjukkan bahawa pengguna TM Unifi, Maxis dan Celcom kini boleh mengakses laman sesawang portal berkenaan, berikutan sekatan 48 jam yang menyaksikan mereka yang menggunakan tiga penyedia perkhidmatan internet utama itu tidak dapat mengakses laman sesawang berkenaan sejak Selasa. 

Semakan MalaysiaNow senelum ini mengesahkan laman sesawangnya disekat, menimbulkan persoalan mengenai wujudnya penglibatan mereka yang mempunyai kuasa dalam menyekat akses ke atas laman sesawangnya. 

Portal itu juga sedang menunggu laporan daripada syarikat keselamatan siber global Cloudflare. 

“Walaupun kami lega kerana laman sesawang itu boleh diakses semula oleh rakyat Malaysia, kami tidak akan berhenti sehingga kami mengenal pasti punca di sebalik sekatan ini yang menjejaskan beberapa ISP utama. 

“Dalam dunia digital, segala-galanya boleh dijejaki dan kita akan tahu tidak lama lagi,” kata Pengarang MalaysiaNow Abdar Rahman Koya.

Fahmi, yang sekali lagi menerima kecaman minggu ini kerana mengancam orang ramai dengan tindakan pihak polis jika mereka “tidak menjaga kelakuan”, menafikan mengeluarkan sebarang arahan untuk menyekat mana-mana portal berita. 

Bagaimanapun ramai pengguna di media sosial menyifatkan kenyataan itu hanya sekadar mengelak daripada menjawab isu, memandangkan ketua penerangan PKR itu gemar mendiamkan media yang membawa kandungan yang tidak menguntungkan kerajaan.

Sekatan terhadap MalaysiaNow adalah kali pertama sejak 2016 membabitkan portal berita yang mempunyai akreditasi media tertakluk kepada larangan sistematik ke atas akses merentas beberapa ISP utama.

Pada 2016, portal berita The Malaysian Insider disekat selepas beberapa siri laporan tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here