PAS tidak kemukakan ‘poster boy’ dalam PRN

PAS tidak akan menampilkan mana-mana ‘poster boy’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, di dalam PAS tidak pernah ada ‘poster boy’ dan istilah mengenainya setiap kali pilihan raya.

Katanya, sejak dari dulu sehingga hari ini tidak pernah lagi dalam sejarah PAS ada ‘poster boy’ kerana keputusan akhir dibuat oleh PAS pusat.

“Dari segi peraturan sesiapa sahaja yang menjadi calon dan menang dalam PRN, dia layak dilantik untuk menjadi Menteri Besar.

“Kalu saya macam mana nak jadi ‘poster boy’ umur pun sudah 60 tahun dan tidak tahu akan bertanding atau tidak dalam PRN kali ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan Negeri Kelantan 2023 di Mydin Mall, Tunjong, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, PAS hampir pasti meletakkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebagai ‘poster boy’ dalam PRN itu, desas-desus peralihan kuasa kepada Timbalannya, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dikatakan akan berlaku sekiranya Perikatan Nasional (PN) mengekalkan kemenangan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali, menjelaskan ia dianggap strategi dalam kempen pilihan raya apabila Ahmad akan menyerahkan jawatan itu kepada Nik Mohd Amar dalam pertengahan penggal akan datang.

Pada masa sama, Che Hamdan menyifatkan PAS Kelantan masih ketandusan pemimpin muda daripada kelompok profesional yang dapat memberi nilai tambah kepada parti dan merapatkan jurang dengan pimpinan berpendidikan agama.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata, kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menyifatkan BN dan PN sebagai ‘gabungan korup’ menunjukkan hubungan DAP dan BN kerana terpaksa.

“Ia menampakkan apa yang tersorot di dalam hati selama ini dan kita harap penyokong-penyokong PN ambil perhatian terhadap perkara ini dan membuat penilaian semula,” katanya lapor BH.