Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRN: Muda bergerak secara 'solo' -

PRN: Muda bergerak secara ‘solo’

MUDA akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi secara sendirian, umum presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut laporan FMT, parti itu akan bertembung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), walaupun Muda menjadi sebahagian daripada blok kerajaan.

Sebelum PRU15 November lalu, Muda beberapa kali memohon menyertai PH tetapi gabungan itu belum memberi sebarang maklum balas.

Dalam sidang media, Syed Saddiq juga menolak andaian bahawa Muda menjejaskan peluang kerajaan perpaduan dalam PRN dengan memecahkan undi.

“Kita sepatutnya tidak menggunakan taktik menakut-nakutkan untuk membenarkan sikap bongkak dan angkuh,” katanya yang merujuk kepada kelewatan PH terhadap permohonan Muda untuk menyertai gabungan tersebut.

Muda memohon untuk menyertai PH sebelum PRU15 pada November yang lalu tetapi tiada sebarang maklum balas dari gabungan itu.

Muda dan PH sebelum ini bersetuju untuk satu pakatan pilihan raya pada PRU15.

Syed Saddiq juga menafikan bahawa Muda memutuskan untuk bertanding PRN secara solo disebabkan oleh kegagalan rundingan kerusi dengan PH dan menyatakan bahawa “tidak ada perkara seumpama itu berlaku”.

Pada 20 Jun, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long berkata parti itu dan PH belum memulakan sebarang rundingan kerusi bagi PRN yang akan datang.

Sebagai respons, pengarah komunikasi PH menyatakan bahawa PH akan menyelesaikan rundingan kerusi dengan BN sebelum memasuki perbincangan dengan rakan-rakan pilihan raya lain seperti Muda.

“Kita mendengar perkara ini sejak selepas PRU15,” kata Syed Saddiq apabila ditanya mengenai kenyataan Fahmi Fadzil itu.

“Kita mencapai kata sepakat bahawa ini bukan tentang kerusi tetapi dasar. Apa gunanya diberikan beberapa kerusi, tetapi akhirnya rakyat kehilangan keyakinan terhadap sistem politik?

“Kita mahu pilihan raya ini menjadi ‘wake-up call’ yang jelas. Perjalanan lebih panjang (untuk Muda), tetapi itu tidak mengapa. Kita muda dan kita melihat ini sebagai pelaburan dalam negara kita.’

Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan pilihan raya dalam masa yang terdekat.