Polis tumpaskan Sindiket curi ‘Catalytic Converter’ kereta

0
172

POLIS Selangor berjaya menumpaskan kegiatan mencuri tabung penapis sisa karbon kenderaan baru-baru ini yang dipercayai turut melibatkan sindiket antarabangsa.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, terdapat sindiket melibatkan warga tempatan melakukan jenayah mencuri tabung ekzos kenderaan yang dikenali sebagai ‘Catalytic Converter’.

Kata beliau, sindiket tempatan itu seterusnya menjual di pasaran antarabangsa seperti di Amerika Syarikat dan Jepun.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan dua suspek utama berusia 34 dan 43 tahun di dua lokasi berbeza di Petaling Jaya, Selangor serta Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada Catalytic Converter Ekzos yang dirampas selepas berjaya menahan dua suspek ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Dengan tertangkapnya dua suspek ini, kita yakin dapat melumpuhkan sindiket menjual komponen kereta ini ke pasaran luar negara.

“Polis juga masih lagi menyiasat modus operandi sindiket warga tempatan ini menjual di pasaran antarabangsa, selain melakukan siasatan lanjut bagi menangkap mereka yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, selain boleh menjual komponen tersebut di pasaran tempatan dengan mudah iaitu antara RM300 hingga RM600 bagi satu unit, Catalytic Converter mempunyai nilai tinggi di pasaran antarabangsa.

Sebahagian daripada Catalytic Converter Ekzos yang dirampas selepas polis berjaya menahan dua suspek ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Jelas beliau, sisa toksik yang terdapat di dalam Catalytic Converter seperti rhodium, paladium serta platinum mempunyai nilai tinggi iaitu RM130 hingga RM350 untuk satu gram.

Katanya, sisa yang terdapat di dalam Catalytic Converter digunakan untuk industri elektronik, pergigian serta bidang perubatan iaitu membuat plate tulang yang patah.

Ekoran itu katanya, hasil soal siasat mendapati suspek mencuri komponen tersebut kerana terdapat permintaan menjualnya di pasaran luar negara dan mendapatkan wang tunai dengan mudah.

Sebahagian daripada Catalytic Converter Ekzos yang dirampas selepas polis berjaya menahan dua suspek ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Anggaran komponen ini boleh dijual di pasaran luar negara antara RM500 hingga RM2,500 bagi satu unit,” ujarnya.

Hussein berkata, pihaknya merekodkan 46 kes kecurian peralatan tersebut pada 2021, manakala 34 kes pada 2022 dan sebanyak 16 kes untuk tempoh setengah tahun ini iaitu sehingga 17 Jun.

Beliau berkata, sindiket yang dipercayai bergiat aktif setahun lalu mensasarkan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan raya dan kawasan sunyi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. GAMBAR: Warta Rakyat

Kata beliau, sindiket dipercayai sangat mahir melakukan pemotongan komponen berharga itu kerana bekerja di kedai alat ganti kenderaan.

“Mereka ini dipercayai sangat pantas melakukan jenayah mencuri komponen ekzos kenderaan dan hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk memotongnya.

“Dengan hanya menaiki motosikal dan membawa gergasi besi, mereka bertindak memotong komponen yang diperlukan dengan cepat,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here