Pentadbiran kerajaan sekarang ‘lebih hanyut’ daripada BN dahulu – Presiden PAS

0
261

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa pentadbiran kerajaan ketika ini ‘lebih hanyut’ daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini atas alasan didominasi agenda DAP.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, DAP ketika ini masih kekal memperjuangkan sekularisme dan ‘Malaysian Malaysia,’ yang disifatkannya sebagai ‘kemungkaran besar’ dan perlu ditentang umat Islam negara ini.

Beliau percaya, kedua-dua konsep itu kini mempengaruhi Kerajaan Perpaduan berikutan Pakatan Harapan (PH) didominasi DAP, yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam gabungan itu.

Katanya, UMNO yang kini bersama Kerajaan Perpaduan pula, didakwa sudah meninggalkan dasar perjuangan asalnya selepas bersekongkol dengan PH dan DAP, semata-mata demi menyelamatkan diri selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kedua-duanya (sekularisme ekstrem dan Malaysian Malaysia) menjadi konsep yang tetap mempengaruhi kerajaan PH yang bercampur dan didominasi DAP kerana mereka parti paling besar jumlahnya, dicampurkan dengan golongan bukan Islam yang ekstrem dan kelompok Islam liberal dalam PKR.

“PH telah didominasi oleh DAP yang tidak pernah berganjak dalam mempertahankan sekularisme yang salah itu dalam perlembagaannya.

“Adapun PKR sebuah parti yang berkonsepkan liberal pragmatik sekular kerana partinya menerima siapa sahaja untuk bersamanya, dan parti yang lain laksana melukut di tepi gantang sahaja.

“Maka, negara dan rakyat berada dalam keadaan yang lebih hanyut daripada pemerintahan BN dahulu yang berteraskan UMNO.

“Kini, UMNO pula telah dialih hala tuju perjuangannya bersama DAP dan PH kerana ingin menyelamatkan diri, mengejar jawatan, serta kalangan yang memburu harta dan takhta,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi mendakwa konsep sekularisme ekstrem yang diperjuangkan DAP adalah ‘salah dan sesat’ kerana ia adalah ideologi yang cuba memisahkan antara agama dengan pentadbiran kerajaan.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, agenda Malaysian Malaysia pula, yang dikatakan dicetuskan oleh ahli politik Singapura pada 1960-an sebelum diperjuangkan DAP, didakwa bertujuan membantah hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Laman sesawang DAP pula mentafsirkan Malaysia Malaysia sebagai konsep di mana ‘semua rakyat boleh menikmati keadilan, kebebasan, demokrasi, dan tadbir urus yang baik tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan.’

Abdul Hadi berpandangan konsep itu tidak boleh diguna pakai dan wajib ditentang oleh orang Melayu dan Bumiputera, khususnya dengan memastikan mereka ‘tidak tersalah memilih parti’ dalam enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Kini, kita menghadapi UMNO yang telah meninggalkan dasar perjuangan asalnya apabila sanggup bersekongkol bersama DAP dalam PH, kerana ingin menyelamatkan diri masing-masing setelah kalah dalam PRU15 dan mengejar jawatan dalam kerajaan tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaannya.

“Maka, jangan salah mengundi dengan memilih parti dan pemimpin yang salah. Jangan tidak keluar mengundi kerana berlepas tangan. Kita sedang menghadapi kemungkaran yang besar iaitu sekularisme dan Malaysian Malaysia,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here