Kerajaan PN Perlis tidak akan perbaharui lesen premis judi

0
243

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) di Perlis tidak akan memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu selepas tamat tempoh operasi tahun hadapan.

Harakah Daily melaporkan operasi enam premis perjudian di Perlis sekarang tidak akan disambung untuk menjalankan operasi selepas tamat tempoh pada Mac 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, selepas tempoh tersebut tamat, tiada pengusaha premis judi akan diberi kelulusan lesen operasi.

Menurutnya, keputusan itu selaras dengan pendirian PN negeri yang diterajui PAS dan Bersatu untuk menghentikan aktiviti perjudian selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya ingin tegaskan usaha kerajaan negeri menghentikan lesen premis judi adalah konsisten sejak dari awal lagi seperti disebut Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli pada kenyataan media atau ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini,” katanya pada sidang media di Kangar, semalam.

Fakhrul Anwar juga dipetik sebagai berkata, tindakan itu tidak diambil secara drastik sebaliknya mengambil pendekatan lunak berdasarkan tarikh luput lesen.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) memberi taklimat secara lisan dan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada pengusaha terlibat.

“Kita mengambil pendekatan lunak bagi memastikan pengusaha terbabit tidak terkejut dengan tindakan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Perlis, Gan Ay Ling mendakwa MPK tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu tanpa sebarang pengumuman.

Ini katanya, di sebalik kerajaan negeri masih belum mengeluarkan sebarang keputusan atau tindakan terhadap isu berkenaan.

“Perkara ini adalah sesuatu yang mengecewakan kerana tidak ada ketelusan di peringkat kerajaan negeri terutama ketika Sidang DUN Perlis pada Mac lalu di mana Menteri Besar (Mohd Shukri Ramli) sendiri memberitahu tiada sebarang keputusan lagi dibuat berhubung perkara berkenaan (pelesenan premis perjudian) setakat ini.

“Berdasarkan maklum balas daripada kerajaan negeri semasa Sidang DUN berkenaan, lesen perjudian ini dikeluarkan kementerian kewangan namun premis itu berada dalam tanggungjawab kerajaan tempatan dan sebarang keputusan terhadap isu berkenaan akan dikaji terlebih dulu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Namun begitu, baru-baru ini MPK sudah pun mula mengeluarkan notis pemakluman kepada premis perjudian ini yang memberitahu lesen tidak akan diperbaharui lesen premis perjudian di negeri ini.

“Jadi dalam hal ini saya menjadi keliru apabila mengapa hal seumpama ini hendak dilakukan secara rahsia. Mungkinkah mereka (kerajaan PN) berasa khuatir terhadap impak yang bakal berlaku terhadap mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang ini sekiranya perkara ini tidak diselesaikan,” katanya yang dipetik oleh Harian Metro.

Mengulas dakwaan itu, Fakhrul Anwar berkata, isu penutupan premis judi itu bukan sesuatu yang mengejutkan atau baharu, malah pelaksanaannya sudah lama di Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang semuanya diterajui PAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here