PENGERUSI PN Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa kerajaan mempertimbang semula cadangannya untuk mengenakan bayaran lebih tinggi untuk golongan berada yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan awam.
Membahaskan Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan menteri Dr Zaliha Mustafa sebelum ini, Muhyiddin berkata langkah itu tidak boleh dilaksanakan secara “tergesa-gesa”.
Menurut ahli parlimen Pagoh itu jika langkah tersebut diteruskan sekarang, ia hanya akan menambah beban rakyat yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.
Ketika ini kata Muhyiddin orang ramai berdepan dengan masalah harga barang meningkat, selain kadar dasar semalaman (OPR) yang memberi kesan kepada bayaran pinjaman bank.
Menurut bekas perdana menteri itu dia faham kerajaan kini berdepan dengan masalah kenaikan fiskal yang meruncing, justeru sumber lain perlu dicari bagi menampung perbelanjaan negara.
“Untuk membantu rakyat, kerajaan boleh mengecualikan golongan B40 daripada dikenakan bayaran (di kemudahan kesihatan).
“Tetapi pada masa sama, kajian terbaru menunjukkan ramai lagi (sebelum ini) bukan daripada kumpulan B40 sekarang berada dalam kategori berpendapatan rendah berikutan peningkatan kos sara hidup,” katanya, lapor MalaysiaKini.
Nasi lemak 20 sen
Justeru jika kerajaan benar-benar mahu menaikkan kadar bayaran di fasiliti kesihatan awam, Muhyiddin meminta agar ia ditangguhkan dulu untuk membolehkan kajian semula dibuat.
Sementara itu seorang lagi ahli parlimen PN menunjukkan pandangan yang berbeza dalam isu sama.
Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) bahkan mengalu-alukan cadangan tersebut dan menganggap kadar bayaran RM1 yang dikenakan sekarang hanya relevan pada masa lalu.
“Struktur fi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu disemak segera.
“Bayaran RM1 adalah sesuai pada masa nasi lemak masih dijual pada harga 10 sen atau 20 sen sebungkus, sedangkan nasi lemak sekarang sudah berharga antara RM2.50 hingga RM5,” katanya.
Dia juga menganggap kadar bayaran RM1 yang dikekalkan sehingga sekarang menjadi penyumbang kepada masalah perkhidmatan KKM statik dan tertinggal.
“Maka satu keberanian atau political will (diperlukan) untuk meningkatkan fi RM1 kepada kadar lebih munasabah berbanding kos yang disediakan pihak swasta,” katanya.
Kertas Putih Kesihatan mencadangkan agar semakan struktur yuran dilaksanakan dalam tempoh lima tahun pertama dalam rancangan 15 tahunnya.
Ketika ini warganegara Malaysia yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan hanya perlu membayar RM1 untuk rawatan pesakit luar, dan RM5 untuk rawatan pakar.
Menurut laman web KKM, rakyat yang menerima rawatan di wad hospital kelas pertama dikenakan bayaran RM10 sehari, manakala bagi wad kelas dua, RM5. Tiada caj dikenakan untuk rakyat Malaysia yang dimasukkan ke wad kelas ketiga.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.